TNG perluas guna kod QR bagi kegunaan harian

TNG perluas guna kod QR bagi kegunaan harian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: TNG Digital Sdn. Bhd. (TNG Digital), pengendali platform perkhidmatan kewangan digital dan aplikasi gaya hidup terkemuka negara mengumumkan ciri baharu dalam aplikasi TNG eWallet yang membolehkan pengguna mengimbas kod QR bukan sahaja untuk pembayaran, malah bagi kegunaan harian lain.

Melalui penambahbaikan ini, pengguna kini boleh mengimbas menu, borang, tiket acara serta pelbagai kod QR bukan pembayaran terus dalam aplikasi TNG eWallet tanpa perlu menggunakan aplikasi pengimbas berasingan, sekali gus menjadikan urusan seharian lebih pantas dan mudah.

Ketua Pegawai Eksekutif TNG Digital, Alan Ni berkata, kod QR kini sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan harian rakyat Malaysia, sama ada ketika makan, membeli-belah, melancong atau berhibur.

“Dengan membolehkan pengguna mengimbas apa jua kod QR pada bila-bila masa dan di mana sahaja, TNG eWallet bukan sekadar memudahkan pembayaran, tetapi turut menjadikan kehidupan seharian lebih lancar dan bersambung. 

Ia mungkin kelihatan seperti langkah kecil, namun kesannya amat besar kerana ia satu aplikasi yang membantu rakyat Malaysia melakukan lebih banyak perkara setiap hari,” katanya dalam kenyataan. 

Ciri pengimbas QR yang dipertingkat itu melengkapkan rangkaian perkhidmatan kewangan dan gaya hidup TNG eWallet yang sedia ada termasuk e-dagang, bayaran bil, pelaburan, insurans dan kiriman wang antarabangsa. 

Pendekatan sehenti ini mengukuhkan lagi peranan TNG eWallet sebagai rakan digital dipercayai untuk semua lapisan masyarakat.

Sempena pelancaran ciri ini, pengguna berpeluang memenangi kredit eWallet atau PIN tambah nilai dengan hanya mengimbas kod QR bukan pembayaran atau berkongsi pengalaman mereka di media sosial menggunakan tanda pagar #SatuAppSemuaQR. 

“Sama ada untuk membuat pembayaran barangan runcit, mendapatkan maklumat atau meneroka destinasi baharu, TNG eWallet kini menawarkan satu aplikasi yang menjadikan hidup lebih pintar, mudah dan bersambung,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN