Tiggo Cross mula dipasang di Kulim

Tiggo Cross mula dipasang di Kulim

CHERY Tiggo Cross yang dilancarkan pada 9 Julai lalu dijual pada harga bermula RM88,800.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Chery Malaysia mula memasang model kenderaan utiliti sukan (SUV) terbaharunya, Tiggo Cross di fasiliti pemasangan Inokom Corporation Sdn. Bhd. milik Sime Darby Motors di Kulim, Kedah, selepas pelancaran rasminya pada 9 Julai lalu.

Model tersebut ditawarkan dalam dua varian, iaitu 1.5 Turbo dan Hybrid CSH masing-masing bermula dari RM88,800 dan RM99,800 bagi Semenanjung Malaysia.

Naib Presiden Chery Malaysia, Michael Chew berkata, Tiggo Cross merupakan SUV paling kecil dan mampu milik yang diperkenalkan Chery setakat ini menyasarkan pengguna muda yang mengutamakan kecekapan, reka bentuk moden serta teknologi pintar.

“Kami berbangga kerana dapat memasang model ini di Malaysia dengan sokongan kepakaran tempatan dan kerjasama strategik. 

“Ia mencerminkan komitmen Chery terhadap pasaran tempatan serta usaha ke arah pertumbuhan mapan dalam industri automotif negara,” katanya dalam kenyataan.

Model Hybrid CSH yang dilengkapi sistem Chery Super Hybrid (CSH) direka khusus untuk pemanduan bandar dengan keupayaan beralih antara kuasa elektrik dan petrol secara automatik bagi menjimatkan penggunaan tenaga.

Sistem hibrid tersebut menggabungkan teknologi plug-in hibrid (PHEV) dan elektrik hibrid (HEV), memberikan prestasi cemerlang, kecekapan tinggi serta keupayaan jarak perjalanan sehingga 1,000 kilometer untuk satu tangki penuh dan pengecasan lengkap.

Pengarah Urusan Inokom Corporation, Sui Keng Huat berkata, pemilihan Inokom sebagai lokasi pemasangan membuktikan keyakinan Chery terhadap kemampuan tenaga kerja tempatan serta fasiliti pengeluaran sedia ada.

“Kami komited untuk mengekalkan piawaian tertinggi dalam aspek kualiti dan penghantaran bagi memenuhi keperluan pengeluar global seperti Chery,” ujarnya.

Tiggo Cross sebelum ini mencatat kejayaan antarabangsa apabila sebanyak sejuta unit telah dieksport dari Pelabuhan Dalian, China sehingga Mac lalu, menjadikannya antara model penting dalam usaha pengukuhan jenama Chery di pasaran global.

Model Turbo ditawarkan dalam empat warna iaitu hitam Carbon, kelabu Phantom, putih Khaki dan merah Blood Stone, manakala varian Hybrid CSH hadir dalam warna hitam Carbon, kelabu Phantom, putih Khaki dan perak Moonlight. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN