PETALING JAYA: Pegawai kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) antara tiga individu direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) empat hari sehingga Jumaat ini.
Penahanan reman melibatkan seorang pegawai kanan gred Jusa B, seorang pemilik syarikat dan seorang pengarah syarikat dilakukan kerana disyaki terlibat rasuah sejak 2014.
Menurut sumber, tiga suspek lelaki berusia lingkungan 40 hingga 50-an masing-masing ditahan di DBKL, Pejabat SPRM Kuala Lumpur dan sekitar Lembah Klang sekitar pukul 12 tengah hari semalam hingga 1 pagi tadi.
“Ketiga-tiga suspek dipercayai terlibat rasuah sejak 2014 di mana suspek berjawatan pemilik syarikat terbabit dipercayai telah membayar rasuah kepada pegawai berkenaan sebagai balasan membantu mendapatkan projek di agensi terbabit.
“Susulan tangkapan itu, SPRM turut menyita wang tunai lebih RM200,000, empat peranti telekomunikasi, dua unit kenderaan jenis Lexus RX500H serta Mini Cooper, beg tangan serta kasut berjenama Hermes dan Louis Vuitton,” katanya.
Sumber berkata, SPRM juga telah membekukan 19 akaun perbankan milik individu serta syarikat melibatkan nilai lebih RM7 juta.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Saiful Ezral Arifin ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap suspek dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.
Terdahulu, Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan kesemua suspek direman selama empat hari sehingga 29 Ogos ini selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret, Putrajaya pagi tadi.-UTUSAN










