Tiga remaja terlibat beri tulang ayam kepada gelandangan disiasat atas tiga kesalahan

Tiga remaja terlibat beri tulang ayam kepada gelandangan disiasat atas tiga kesalahan

TANGKAP layar video memaparkan tiga lelaki dipercayai memberikan bungkusan nasi bersama tulang ayam kepada seorang gelandangan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Tiga lelaki termasuk seorang juvana yang terlibat dalam video tular mereka memberikan sisa makanan tulang ayam kepada gelandangan telah dibebaskan dengan jaminan polis semalam.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, insiden berkenaan berlaku di daerah ini dan kesemuanya sebelum ini sudah ditangkap polis kelmarin di Johor serta direman pada hari yang sama.

Polis ada buat tangkapan di Johor ke atas tiga remaja lelaki berusia 14 hingga 19 tahun bagi membantu siasatan berhubung kes tular yang berlaku di daerah ini.

“Reman selama dua hari bermula kelmarin namun kesemuanya sudah pun dibebaskan dengan jaminan polis petang semalam selepas dirakam keterangan,” katanya di sini hari ini.

Ujar Mohamad Hatta lagi, kes kini disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu kenyataan mengaibkan yang boleh menyebabkan pecah keamanan; Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian dan perkhidmatan rangkaian serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.

Sebelum ini, tular video hampir dua minit memaparkan tiga pemuda memberikan bungkusan nasi bersama tulang ayam kepada seorang gelandangan.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dilaporkan telah merakam keterangan tiga individu berhubung penyebaran video berkenaan.

SKMM memaklumkan, rakaman keterangan dan siasatan lanjut berhubung perkara itu telah dijalankan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri, Johor selain menyita tiga telefon bimbit dan tiga kad SIM bagi membantu siasatan.

“Kandungan video itu dipercayai bersifat jelik melampau dan telah mencetuskan kemarahan serta kecaman meluas dalam kalangan warganet selain menyentuh sensitiviti masyarakat majmuk di negara ini,” kata kenyataan itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN