Tidak sempat edar RM6.3 juta syabu

Tidak sempat edar RM6.3 juta syabu

MOHD. Khairi Khairudin (tiga dari kanan) menunjukkan dadah jenis syabu bernilai RM6.3 juta yang dirampas dalam sidang akhbar  di Ibu pejabat Polis Kontinjen Terengganu. -UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah jenis syabu dengan nilai rampasan bernilai RM6.3 juta menerusi Op Sekatan Jalan Raya Bersepadu di Jalan Sungai Ikan, laluan Kuala Terengganu–Kota Bharu, dekat sini pada 28 Julai lalu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairudin berkata, kejayaan itu hasil operasi bersepadu yang dilaksanakan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Kuala Terengganu bersama Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu.

“Ketika operasi kira-kira pukul 5 petang, anggota mengesan dua kenderaan dalam keadaan mencurigakan iaitu sebuah Mercedes Benz hitam dan Perodua Myvi putih. Kedua-duanya membuat pusingan U secara mengejut sebelum memecut ke arah Kota Bharu,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK), di sini hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau berkata, dua anggota trafik mengekori kenderaan tersebut sebelum menemukan kedua-duanya ditinggalkan tanpa pemandu dan penumpang di hadapan sebuah rumah di Felda Belara.

Katanya, pemeriksaan terhadap Mercedes Benz menemukan lima kotak polisterin mengandungi 24 bungkusan plastik berwarna perak dan merah tertera perkataan Guan Yin Wang.

“Setiap bungkusan itu mengandungi plastik lutsinar berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu dengan jumlah keseluruhan 120 bungkusan dan anggaran berat kasar 126.96 kilogram (kg),” katanya.

Menurut beliau, pemeriksaan lanjut ke atas Perodua Myvi pula menemukan dua kotak polisterin mengandungi 24 bungkusan setiap satu serta satu kotak polisterin lagi mengandungi 20 bungkusan plastik berwarna sama

Katanya, setiap bungkusan dianggarkan seberat 1,058 gram dengan jumlah keseluruhan 68 bungkusan dan anggaran berat kasar 71.94kg.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan rampasan dadah syabu daripada kedua-dua kenderaan itu adalah sebanyak 188 bungkusan dengan berat kasar mencecah 198.9 kg.

“Bekalan ini dipercayai mampu digunakan oleh kira-kira 994,550 penagih dan difahamkan dibawa masuk untuk diedarkan ke pasaran luar Terengganu namun berjaya dipintas sebelum sempat diedarkan,” jelasnya.

Katanya, usaha mengesan suspek dan pemilik kenderaan yang terlibat sedang giat dijalankan, selain pemeriksaan mendapati casis kenderaan Mercedes Benz turut dirosakkan manakala pemilik Perodua Myvi telah dikenal pasti. Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini