‘Tidak perlu masuk semua festival filem untuk kejar pengiktirafan’ - Utusan Malaysia

‘Tidak perlu masuk semua festival filem untuk kejar pengiktirafan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pengarah, pengkritik dan pemerhati industri filem, Al Jafree Md Yusop berpendapat, penerbit filem tidak perlu terlalu mengejar pengiktirafan daripada acara filem semata-mata untuk mendapat penghargaan.

Ujar Al Jafree, memperoleh simbol ‘bunga padi’ untuk diletakkan dalam poster tidak akan menjamin filem tersebut akan memperoleh kutipan yang tinggi di panggung.

“Menjadi calon atau ditayangkan di festival filem selalu digunakan segelintir penerbit sebagai bahan untuk menarik penonton hadir ke panggung. Kadangkala bermacam nama festival filem, yang tidak pernah dengar pun ada.

“Mereka lakukan ini kerana tindakan terdesak, mahu orang rasa filem mereka bagus. Tapi mereka lupa, menang anugerah di festival filem bukan tiket untuk orang tonton filem kita. Ada banyak filem menang anugerah luar negara tapi tayangannya tidak dapat sambutan.

“Begitu juga filem Hollywood, menang Oscars tidak menjadikan kutipan panggung nombor satu. Saya tidak tahu budaya anggap ‘menang festival filem, filem dijamin laku’ ini datang dari mana.

“Bagi saya mudah sahaja, cukuplah kalau pembikin buat filem yang bagus,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Filem arahan U-Wei Haji Saari, Kaki Bakar, menjadi karya pertama anak tempatan yang terpilih untuk ditayangkan di Festival Filem Cannes 1995, iaitu salah satu festival filem paling berprestij di dunia. Tidak ada mana-mana pengarah yang menghampiri kejayaan seperti U-Wei.

Kaki Bakar yang diadaptasi daripada cerpen William Faulker, Barn Burning pada 1936 itu kemudian ditayangkan di panggung Malaysia pertama kali pada Oktober 2001. Bagaimanapun, filem tersebut hanya berjaya meraih kutipan RM3,087 ketika itu.

Begitu juga filem Tiger Stripes arahan Amanda Nell Eu yang menjadi filem pertama memenangi Minggu Kritik Antarabangsa Cannes ke-62. Walaupun filem itu dipilih mewakili Malaysia untuk kategori Filem Cereka Antarabangsa Terbaik Anugerah Akademi (Oscars) ke-96, namun tiada khabar filem itu menduduki senarai kutipan pecah panggung selepas ditayangkan pada Oktober 2023.

Dalam pada itu, pengarah Mencari Rahmat itu berpendapat hanya ada lima sahaja Festival Filem yang boleh dianggap berprestij di dunia iaitu Festival Filem Cannes (Perancis), Festival Filem Antarabangsa Berlin (German), Festival Filem Antarabangsa Venice (Itali), Festival Filem Antarabangsa Toronto (Kanada) dan Festival Filem Sundance (Amerika Syarikat).

“Lima festival filem itu memang kita tidak boleh pertikaikan lagi reputasi mereka. Kalau peringkat Asia, saya fikir Festival Filem Antarabangsa Busan, Korea Selatan. Kita ada juga festival filem yang konsisten seperti Festival Filem Antarabangsa Tokyo, Singapura atau Kota Kinabalu tapi standard mereka tidak menyamai Busan.

“Cuma yang menjadi keraguan ialah festival filem yang tidak dikenali di mana penggiat filem kena bayar. Setiap bulan pun ada.

“Jadi penting untuk kita tahu reputasi festival filem di mana berduyun-duyun orang industri kata mereka menang tapi tidak tahu hujung pangkal penganjurannya.

“Begitu juga filem mana yang ‘official selection’ iaitu dipilih secara rasmi atau yang dibayar untuk ditayangkan di mana-mana majlis anugerah. Jika berbayar, automatik nama filem kita tersenarai di situ,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN