BUKAN sedikit harga kesabaran yang perlu ada dalam diri untuk menjaga ahli keluarga yang sakit. Bagi Diana atau Diana Danielle Danny Beeson, 33, dalam kepenatan, mungkin ada kalanya sukar untuk membuat pertimbangan menyebabkan timbul salah faham sekali gus membuatkan hubungan antara ahli keluarga menjadi keruh.
Malah, keadaan mungkin menjadi bertambah rumit sekiranya ahli keluarga yang sakit merupakan tulang belakang yang bertanggungjawab menyediakan nasi di atas meja serta menyediakan kelengkapan buat ahli keluarga. Tidak hanya kesabaran teruji malah kewangan keluarga turut terkesan sama.
“Saya berpengalaman menjaga ahli keluarga yang sakit, memang uji kesabaran sehingga kadangkala boleh buat bergaduh adik-beradik. Bukan itu sahaja, kita juga dibebani rasa takut kehilangan mereka. Asyik terfikir ‘bagaimana kalau suatu hari dia sudah tiada?’.
“Perasaan itulah yang pada saya lebih berat baik untuk orang sakit mahupun individu yang bertanggungjawab menjaga orang sakit,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Walaupun Diana tidak menceritakan secara terperinci bilakan kejadian itu berlaku, namun pelakon Imaginur itu dipercayai bercakap mengenai pengalamannya ketika berusia 13 tahun yang tidak bersekolah selama setahun kerana menjaga ibunya yang ketika itu disahkan mengidap kanser.
Memandangkan ibunya, Norsiah Ramli, tidak boleh bekerja ketika itu, maka Diana terpaksa melalui hidup yang susah sehingga terpaksa tumbang berteduh di rumah kenalan keluarga. Makan pula sekadar yang ada iaitu sebuku roti dibahagi dua dan mi segera dingin.
“Setiap orang mempunyai pengalaman berbeza jaga orang sakit. Bagi saya, cabaran terbesar adalah dari aspek kewangan. Lebih-lebih lagi yang sakit itu merupakan tulang belakang keluarga.
“Perkara itu sangat sukar, jadi kita kena fikir apa yang kita kena buat. Sama juga situasinya kalau ada ibu ayah yang perlu jaga anak yang sakit. Sebagai penjaga orang sakit, kita tidak boleh nak tunjuk sisi rapuh sebab mereka memerlukan sokongan kita,” ceritanya.
Nasihat Diana lagi, ketika melawat orang sakit, jangan lupa untuk bertanya khabar emosi dan keadaan diri para care takers.
“Mereka juga memerlukan ruang untuk luahkan perasaan mereka terutama kepenatan. Jadi, kawan-kawan sekeliling penting untuk beri sokongan dan ruang untuk mereka kata ‘Saya penat, saya tertekan dan tidak cukup tidur’,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Diana hadir dengan filem terbaharu bertajuk Memori iaitu menceritakan bagaimana cabaran yang perlu dilalui untuk menjaga bapa yang mengidap Alzheimer.
“Kisah ini diangkat daripada kisah benar iaitu bapa kepada pengarah, Abid Hussain. Jadi saya beruntung boleh berbual langsung dan bertemu sendiri dengan karakter saya di dunia nyata iaitu isteri Abid.
“Perkara itu membolehkan saya mendalami karakter dan cuba lakukan sebaik mungkin untuk menyampaikan pengalaman mereka,” katanya.
Filem Memori akan ditayangkan di pawagam GSC mulai 31 Julai 2025.-UTUSAN