PUTRAJAYA: Usahawan dan juga anggota kumpulan KRU, Datuk Norman Abdul Halim, mengesahkan tiada konsert GenKRU bakal berlangsung di Pulau Pinang hujung bulan ini seperti yang diperkatakan beberapa pihak.
Menurut Norman, 53, pihak KRU yang turut dianggotai Edry dan Yusry tidak mahu mengambil risiko untuk mempersembahkan kualiti konsert lebih rendah berbanding di Axiata Arena, Bukit Jalil, Mei lalu.
“Macam inilah, GenKRU sudah menjadi penanda aras yang besar.
“Bukan saya tak nak layan peminat dekat Pulau Pinang ataupun dekat tempat lain. Tapi isunya biarlah kami buat benda lain, pembaharuan berbeza. Tak nak GenKRU lagi,” katanya.
Norman ditemui di majlis sidang media Kruniverse bersama Unity Trust Berhad, di sini, pada Selasa.
Tambah Norman, dia bimbang sekiranya konsert GenKRU dibawa ke tempat lain, persembahan mereka tidak akan setanding seperti di Kuala Lumpur.
“Kita tidak mahu ‘downgrade’ atau menurunkan kualiti persembahan yang telah menjadi kenangan manis buat puluhan ribu peminat.
“Lagipula bila kita buat konsert tempat lain, secara logiknya, kos dia tak boleh tinggi berbanding di Kuala Lumpur.
“Dekat Kuala Lumpur kita boleh letak harga tinggi sesuai dengan kos dan nilai produksi. ” katanya.
Dalam pada itu, Norman berkongsi rasa bimbang mengenai kualiti persembahan mereka turut dirasai anggota KRU semasa konsert di Singapura Jun lalu.
“Bila kita buat dekat Singapura tempoh hari pun dah ada rasa perbezaan. Peminat tidak cakap apa-apa, cuma kami yang rasa tidak okay berbanding di Kuala Lumpur,” katanya.
Menjawab persoalan mengenai peminat yang mungkin kecewa, Norman memahami harapan yang diletakkan oleh mereka.
“Jika kami tahu sambutan GenKRU tempoh hari akan seperti itu, tular dan berlangsung empat malam. Kami akan buat cara berbeza.
“Maksudnya kita buat konsert kecil-kecilan dulu sebelum konsert besar,” ujarnya.
Walaupun tiada sambungan untuk konsert GenKRU, namun Norman memberi bayangan bahawa perjuangan seni KRU masih belum berakhir.
“Akan ada sesuatu buat peminat nanti, tunggu,” katanya ringkas.
Terdahulu, konsert GenKRU yang dipentaskan empat malam di Axiata Arena, Bukit Jalil, KL pada Mei lalu diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) dan melakar sejarah baharu buat trio beradik berkenaan. -UTUSAN










