KUALA LUMPUR: “Saya tidak pernah tegur lakonan sesiapa walaupun dia ulang babak lapan kali.”
Demikian kata aktor, Faizal Hussein yang mengakui dirinya tidak akan sesekali mengherdik atau menegur mana-mana pelakon di lokasi penggambaran demi menjaga keharmonian suasana.
Menurut Faizal, dia enggan mewujudkan suasana yang kurang menyenangkan bersama pelakon gandingannya apatah lagi melakukan perkara-perkara yang boleh menjejaskan kualiti lakonan seseorang.
“Saya tidak pernah tegur kerana mahu menjaga hati. Sekiranya penggambaran itu mengambil masa dalam tujuh hari, saya tidak mahu teguran atau herdikan itu menjadi perkara yang menyakiti hati sesiapa. Itu lebih baik.
“Setiap kali menjalani proses penggambaran, saya lebih memilih untuk mengekalkan keharmonian. Pada saya, perasaan pelakon tidak boleh diganggu.
“Apatah lagi pergaduhan, herdikan dan salah faham. Pada saya, tekanan sebegitu boleh mengganggu fokus dan emosi pelakon lain. Secara tidak langsung menjejaskan mutu lakonan,” jelasnya.
Bagaimanapun, pelakon drama bersiri Bidaah itu mengakui dirinya juga pernah melalui pengalaman ditegur pelakon senior.
Namun, dia memilih untuk tidak menyimpannya di dalam hati sebaliknya menjadikan teguran tersebut sebagai pendorong untuk dirinya lebih matang dan berdisiplin.
“Suatu ketika dahulu, saya ada juga diherdik pelakon senior tapi saya tak ambil hati atau menganggap itu sebagai buli.
“Kalau ikut umur, kadangkala kita kena juga ambil nasihat artis senior. Mungkin disebabkan perbezaan usia, mereka tidak faham apa yang pelakon senior cuba sampaikan. Saya pun masa muda mungkin begitu,” ujarnya
Terdahulu, seorang pelakon berusia 40-an mendakwa pernah diherdik pelakon veteran di lokasi penggambaran.
Malah, pelakon veteran itu turut menggesa pihak produksi menggugurkan namanya daripada penggambaran itu.-UTUSAN