Tawar minuman percuma 24 jam sempena merdeka

Tawar minuman percuma 24 jam sempena merdeka

MOHAMMAD Nasmir Kadhar Shah (berdiri, tengah) berbual bersama pelanggan yang berkunjung ke Restoran Nasi Kandar Nasmir di Batu Kawan, Pulau Pinang hari ini.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU KAWAN : Sambutan Hari Kebangsaan kali ke-68 tahun ini diraikan dengan cara unik oleh sebuah restoran nasi kandar di Bandar Cassia yang menawarkan minuman percuma bagi setiap pembelian makanan dalam tempoh 24 jam.

Pengarah Nasmir Holding Sdn. Bhd., Mohammad Nasmir Kadhar Shah berkata, promosi istimewa bermula 7 pagi tadi sehingga 7 pagi keesokan harinya itu diadakan buat kali pertama khusus buat pelanggan mereka yang terdiri daripada berbilang kaum.

Katanya, selain mempromosikan minuman percuma, Restoran Nasi Kandar Nasmir turut diserikan dengan ratusan bendera, malah, para pekerjanya turut memakai pakaian seragam yang bertemakan Jalur Gemilang bagi meraikan hari bersejarah itu.

“Nasi kandar ini dimakan oleh semua orang tanpa mengira latar belakang dan restoran ini juga sering dijadikan tempat melepak serta berkumpul bersama.

“Justeru, saya percaya tawaran ini dapat mengeratkan hubungan semua termasuklah jalinan antara kami dan pelanggan.

“Tanpa sokongan mereka (pelanggan), kami tidak akan mampu untuk bertahan sehingga ke hari ini. Ini juga menjadi salah satu cara kami untuk menghargai kepercayaan dan sokongan padu daripada pelanggan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Tambahnya, sehingga kini, lebih 2,000 gelas minuman percuma telah dipesan, dengan milo ais dan nescafe ais menjadi minuman pilihan yang paling popular.

“Kita mementingkan kualiti berbanding kuantiti dan paling penting, semangat kemerdekaan ini dapat disemarakkan dalam kalangan pelanggan.

“Tidak mustahil kita akan teruskan promosi ini di restoran-restoran lain pada tahun depan memandangkan sambutan yang diterima amat menggalakkan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN