PUTRAJAYA: Pengerusi Eksekutif KRU, Datuk Norman Abdul Halim, mengesahkan sebuah taman tema diinspirasikan daripada filem Magika yang terbit pada 2010 sedang dalam proses pembinaan.
Jelas Norman, taman tema berkonsepkan didik hibur itu kini berada dalam fasa pemasangan infrastruktur dan dijangka akan dilancarkan pada Mei tahun hadapan.
“Kita sudah tanda tangan kontrak dengan beberapa pihak. Kerja-kerja pembinaan sedang dalam proses. Kerja-kerja infrastruktur dijangka siap hujung tahun ini, manakala pemasangan aset akan bermula pada Januari depan sebelum pelancaran rasmi pada Mei 2026.
“Lokasi kami rahsiakan dulu cuma cukuplah anda tahu ia akan berada di Lembah Klang.
“Projek ini masih di bawah KRU Entertainment namun akan dipindah ke KRUniverse jika sudah mencapai keuntungan yang disasarkan.” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tambah Norman lagi, taman tema ini akan menghidupkan watak-watak mitos alam Melayu seperti dalam filem Magika yang bakal memberikan pengalaman interaktif kepada pengunjung.
“Ia bukan taman tema biasa. Tiada roller coaster yang biasa ditemui di taman tema lain. Konsep kita adalah edutainment, di mana ia menggabungkan elemen pendidikan dan hiburan.
“Ia akan memberi fokus kepada pemuliharaan alam sekitar sambil memastikan pengunjung terhibur,” katanya.
Bagaimanapun anggota KRU itu juga tidak menafikan, taman tema itu akan menjadi sebahagian daripada rangka promosi untuk sambungan Magika 2 sekiranya mendapat sambutan.
“Ramai yang mahukan Magika 2 dan kami merasakan sebuah platform fizikal amat diperlukan untuk mempromosikan jenama ini. Media sosial sahaja tidak mencukupi, kami perlukan sebuah lokasi fizikal,” jelasnya.
Projek ini merupakan sebahagian daripada strategi penstrukturan semula perniagaan KRU, di mana Dato’ Norman akan memberi tumpuan penuh kepada Kruniverse yang menguruskan projek-projek perniagaan seperti hospitaliti dan teknologi.
Sementara itu, adik-beradiknya, Yusry dan Edry, akan terus aktif dalam bidang kreatif dan seni sebagai karyawan.
Terdahulu, Magika merupakan filem terbitan KRU Studios arahan Edry Abdul Halim mengisahkan Ayu dan Malik yang memasuki sebuah alam bernama Magika yang dipenuhi watak dalam dongeng alam Melayu. Magika terbit pada 2010 dan mengutip RM1.3 juta selepas empat hari tayangan. -UTUSAN