Suri rumah sedia jadi ibu angkat bayi lahir tepi jalan Pasir Gudang

Suri rumah sedia jadi ibu angkat bayi lahir tepi jalan Pasir Gudang

SEORANG wanita bersalin di tepi jalan Taman Bukit Dahlia, Pasir Gudang, Johor dalam kejadian Ahad lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang suri rumah, Syarifah Munawwarah Sayed Muhammad, 36, sedia menjadi ibu angkat kepada bayi lelaki dilahirkan secara kecemasan di tepi jalan di Taman Bukit Dahlia, Pasir Gudang, Ahad lalu.

Kejadian luar biasa itu me­ninggalkan kenangan manis yang tidak akan dilupakan sepanjang hayatnya.

“Saya sedia jadi ibu angkat jika ditawarkan sebab kejadian itu amat manis.

“Ia menggambarkan semangat perpaduan rakyat Malaysia yang sentiasa sedia membantu tanpa mengira latar belakang kaum.” katanya kepada Utusan Malaysia.

Ibu kepada empat anak ini berkata, ketika kejadian dia dan suami dalam perjalanan ke pusat sukan sebelum berhenti di persimpangan lampu isyarat Taman Bukit Dahlia.

Di situ, mereka ternampak seorang wanita India bersama suaminya dan seorang wanita Melayu sedang membantu seorang wanita muda yang sedang sarat mengandung dan dalam proses melahirkan.

“Pada mulanya saya menyangka wanita itu mangsa kemalangan, tetapi kemudian saya sedar dia sedang melahirkan anak. Walaupun saya tiada pengalaman dan takut, saya nekad membantu,” katanya.

Selepas bayi lelaki itu selamat dilahirkan, Syarifah menggunakan tali kasut yang diperoleh daripada seorang penunggang motosikal berhampiran untuk mengikat tali pusat bayi tersebut. Ketika kejadian, hujan renyai-renyai menambah cabaran dalam situasi cemas itu.

“Saya memegang bayi itu sambil membaca bismillah dan zikir tanpa henti, risau keselamatan ibu dan bayi kerana darah keluar banyak ketika bersalin,” katanya.

Syarifah merasa lega apabila ibu muda dan bayi berkenaan akhirnya mendapat rawatan sewajarnya daripada pegawai kesihatan yang tiba tidak lama kemudian di lokasi kejadian.

“Ini pengalaman baharu dan saya bersyukur kerana masih ramai yang mahu membantu sesama manusia ketika saat memerlukan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×