PETALING JAYA: Misi kemanusiaan ke Gaza merupakan paling mencabar dihadapi pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Khalsa Aid International sepanjang 26 tahun ditubuhkan.
Ketua Operasi Asia Pasifik, Gurpreet Singh, 35, berkata, walaupun pasukannya berjaya memasuki Mesir, namun mereka tidak dibenarkan merentasi kawasan Gaza.
“Kami ditahan berbulan-bulan disebabkan sekatan ketat dan larangan ke atas warga asing termasuk sukarelawan Britain.
“Agensi seperti Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) turut berdepan masalah yang sama. Kami menghulurkan bantuan hanya melalui laluan udara sahaja,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kata Gurpreet, pihaknya turut berasa sedih apabila masih banyak pihak berdiam diri dan bersikap tidak ambil tahu terhadap masyarakat Islam di Gaza, walaupun sebenarnya mereka tahu realiti sebenar.
“Rakyat di Gaza sangat memerlukan bantuan seperti makanan dan ubat-ubatan, namun, dunia masih memilih untuk berdiam diri.
“Semua pihak seharusnya perlu bersuara kepada mereka yang tidak mampu lagi bersuara,” katanya.
Tambahnya, perkara itu bukan hanya melibatkan bantuan makanan dan kesihatan, namun ia merupakan sebuah perjuangan hak asasi mereka yang terus ditindas oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Khalsa Aid International merupakan sebuah organisasi kemanusiaan ditubuhkan pada 1999 dan setakat ini dianggotai oleh enam negara iaitu United Kingdom, India, Australia, Amerika Syarikat dan Kanada.
Organisasi itu mula beroperasi semasa krisis pelarian Kosovo dan sehingga kini telah memberikan bantuan di 57 negara merentasi enam benua termasuklah Ukraine, Iraq, Syria, Sudan, Gaza dan India.
Antara krisis yang pernah dibantu termasuklah konflik buatan manusia serta bencana alam seperti gempa bumi, banjir, kebuluran dan pelanggaran hak asasi manusia.
Gupreet berkata, mereka masih membuka penyertaan bagi semua yang berminat untuk menjadi sukarelawan.
“Mereka yang berminat untuk menjadi seorang sukarelawan perlulah sekurang-kurangnya berumur 18 tahun ke atas dan perlu menjalani kelas latihan terlebih dahulu.
“Kami menerima sesiapa sahaja yang ingin menyertai tidak kira latar belakang dan agama apa, bagi kami sifat kemanusiaan itu adalah lebih penting dan mengatasi segalanya,” katanya. – UTUSAN










