Suami sekarang tidak buat begitukah? - Remy Ishak - Utusan Malaysia

Suami sekarang tidak buat begitukah? – Remy Ishak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon, Datuk Remy Ishak, pelik apabila video yang dimuat naik memaparkan aktor itu menguruskan rumah dan anak menjadi tular sehingga digelar suami ‘green flag’.

Jelas Remy atau Mohammad Zalimei bin Ishak, 43, dia tidak menyangka perkongsian itu dianggap perkara besar sedangkan itu adalah rutin biasa sepatutnya dilakukan lelaki yang bergelar suami.

“Saya hairan juga sebab bukankah sekarang ini memang suami buat begitu?

“Saya sebenarnya tak suka baca komen cuma saya tanya juga pada isteri, ‘kenapa video begini ramai orang tengok?’

“Terbaca jugalah komen dan saya rasa pelik sebab apa yang saya buat itu hanyalah perkara rutin dan memang tugas seorang suami.

“Tak ada orang buat dah ke? Saya terfikir macam itulah. Kenapa video ini viral? Adakah dunia dah berubah dan lelaki tak buat perkara itu?,” katanya.

Remy ditemui Utusan Malaysia di majlis pengumuman Remy Ishak sebagai duta jenama automotif GAC Malaysia di 1 Utama, pada Sabtu.

Tambah pelakon Keluang Man itu lagi, sejak kecil dia sudah melihat bapanya serta ahli keluarga terdekat sama-sama menguruskan pekerjaan rumah termasuklah  tanggungjawab membesarkan anak.

“Saya tak pasti keadaan hari ini bagaimnana tetapi saya dibesarkan dengan cara macam ini.

“Ayah saya, keluarga dan kawan saya pun memang macam bersikap begitu cuma tak tahulah kalau di luar sana tak ada benda macam ini,” katanya.

Bagaimanapun jelas Remy, video tersebut dirakam spontan dan bukannya untuk tujuan kandungan semata-mata.

Pelakon itu bagaimanapun bersyukur sekiranya masyarakat dapat manfaat dan nilai positif hasil daripada perkongsian tersebut.

“Kalau kita pandang dari situ positifnya, bagus di mana saya menggalakkan perkara yang baik.

“Itulah gunanya seorang pelakon terkenal, kita kena bagi aura positif dan ajak orang sama-sama menjadi positif.

“Sebagai seorang figura, kita memang kena kongsikan perkara yang positif,” katanya.

Sebelum ini,  Remy memuat naik sebuah video memaparkan rutin hariannya di rumah ketika sedang bercuti.

Dalam perkongsian itu, Remy dilihat memandikan anaknya, Tuah Alam, 2, menghantarnya ke sekolah, mencuci pakaian dan membersihkan rumah. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN