Steven Sim tunai janji, bantu keluarga Kak Umi miliki rumah baharu

Steven Sim tunai janji, bantu keluarga Kak Umi miliki rumah baharu

STEVEN Sim (dua dari kiri) gembira kerana dapat menunaikan janjinya untuk menyediakan sebuah kediaman baharu yang lebih selesa kepada keluarga Umi Kalsom Nayan di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.-GAMBAR/FACEBOOK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM : Meskipun sibuk dengan pelbagai urusan harian, Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong baru-baru ini sempat menunaikan janjinya untuk menyediakan sebuah kediaman baharu yang lebih selesa kepada keluarga Umi Kalsom Nayan, 52, di sini.

Menurut Steven, segalanya bermula ketika beliau berjumpa dengan pejuang reformasi itu yang mesra disapa sebagai Kak Umi, beberapa minggu lalu.

“Saya pergi tanpa maklum, nak kasi ‘surprise’ (kejutan) kepada Kak Umi. Kebetulan, masa itu Kak Umi baru turun dari Bukit Tok Kun, mengambil upah jaga dusun milik ayah sahabat baiknya, Fatin.

“Saya terdiam melihat keadaannya. Letih, lesu, tapi masih tersenyum. Saya tawarkan bantuan. Tapi, seperti biasa, Kak Umi menolak dengan lembut dan memberitahu bahawa dia masih boleh kerja. Tapi, saya tahu, tubuhnya sudah tidak sekuat dulu,” kata Steven dalam satu hantaran Facebook miliknya.

Jelas Steven, meskipun berada dalam keadaan serba kekurangan, Umi Kalsom sempat meminta beliau untuk membantu adiknya, Rosman Nayan, 46, seorang pembantu kedai makan dan pesakit jantung yang tidak mampu untuk membuat kerja berat.

“Saya terkejut kerana walaupun dirinya serba kekurangan, yang diminta oleh Kak Umi hanyalah supaya saya membantu adiknya, Rosman. Ketika itu, saya berjanji, saya akan cuba sedaya upaya, dan syukur, hari ini janji itu tertunai,” kata beliau.

Ujar Steven, rumah baharu itu dibina secara bergotong-royong oleh lebih 20 pelajar daripada kursus kepimpinan First CDK Engineering.

Katanya, beliau terkejut kerana rumah yang sebelum itu terlalu usang dan hampir runtuh kini tersergam indah di depan mata.

“Sebelum pulang, saya teringat kedai makan lama yang dulu diusahakan oleh Kak Umi. Kini sudah lama ditinggalkan. Saya cadangkan kepada Rosman: ‘Apa kata kita baiki kedai itu semula dan Rosman boleh mula berniaga sendiri. Tambah pendapatan keluarga, bina semula kehidupan.’

“Rosman terkejut atas tawaran saya tapi dia terus bersetuju. Saya akan bantu dia untuk berdiri semula. Dua orang anaknya masih bersekolah. Saya doakan kehidupan mereka selepas ini akan menjadi lebih baik,” kata Steven.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN