Slot puji aksi pemain muda Liverpool

Slot puji aksi pemain muda Liverpool

RIO Ngumoha diraikan rkan sepasukan selepas meledak ketika Liverpool menumpaskan Yokohama F. Marinos 3-1 dalam aksi pramusim di Jepun.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TOKYO: Dua pemain akademi membuktikan mereka bersedia memainkan peranan penting dalam skuad Arne Slot untuk mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL), biarpun Liverpool telah berbelanja 295 juta pound (RM1.66 bilion) pada musim panas kali ini.

Rio Ngumoha, 16, dan Trey Nyoni, 18, masing-masing menjaringkan gol ketika Liverpool bangkit mengatasi Yokohama F. Marinos 3-1 dalam cuaca panas di Jepun.

Pemain baharu Reds, Florian Wirtz turut meledak gol selepas menyertai Liverpool dengan yuran perpindahan 116 juta pound (RM654 juta).

Slot memuji Ngumoha, yang ditandatangani dari Chelsea pada musim panas lalu, perpindahan yang begitu mengecewakan kelab London itu hingga mereka melarang pasukan pencari bakat Liverpool daripada memasuki kompleks latihan Cobham.

“Ngumoha sekali lagi mempamerkan kualiti yang dimilikinya. Ini sesuatu yang baik untuk kami kerana kami sudah ada ramai pemain berkualiti, tetapi apabila kami dapat bakat baharu terus dari akademi, ia memberikan tenaga tambahan kepada pasukan.

“Seronok melihat pemain muda berusia 16, 17 atau 18 tahun mampu memberi impak kepada perlawanan. Tetapi tadi ada satu ketika yang mana dia sepatutnya melorongkan bola kepada Curtis (Jones), bukan mencuba sendiri. Namun kalau anda baru 16 tahun dan boleh beri impak sebegitu, ia memang layak dipuji,” kata Slot sebelum pasukan berlepas pulang ke England.

Legenda Chelsea, John Terry pernah menyifatkan Ngumoha sebagai pemain terbaik di akademi mereka setahun lalu, manakala seorang bekas jurulatih remaja yang berpengalaman lebih 20 tahun memberitahu Mail Sport bahawa Ngumoha antara pemain berbakat besar pernah dilatihnya.

“Saya melihat Ngumoha kali pertama ketika dia berusia sekitar 12 tahun. Dia salah seorang bakat terbaik yang pernah saya latih.

“Dia tampil dari keluarga yang sederhana dan daripada segi sikap serta mentaliti, tiada ruang untuk dia terpesong atau terlalu yakin diri,” jelasnya.

Dengan Luis Diaz menyempurnakan perpindahan 65.5 juta pound (RM369 juta) ke Bayern Munich minggu ini, Ngumoha dijangka memberi saingan kepada Cody Gakpo di posisi sayap kiri.

Nyoni turut mencuri perhatian dalam sesi latihan dan dijangka menerima lebih banyak minit permainan musim ini.

Hugo Ekitike membuat penampilan tidak rasmi di venue final Piala Dunia 2002 dan final Piala Dunia Ragbi 2019 selepas perpindahan 79 juta pound (RM445 juta) ke Liverpool.

Sementara itu, Slot yang sempat beberapa kali bercuti di Ibiza untuk meraikan kejayaan EPL, menegaskan tumpuannya kini sepenuhnya terhadap musim baharu.

“Saya kini fokus kepada musim ini tetapi saya masih sedar akan kejayaan yang kami capai.

“Saya bercuti agak lama, lima atau enam minggu dan kerana kami sudah mengesahkan kejuaraan awal, saya dapat menikmatinya dengan lama juga.

“Namun saat kami kembali ke latihan, itu juga saat kami berhenti fikir mengenai musim lalu. Tiada lagi masa untuk berbangga dengan apa yang sudah dilakukan, fokus sepenuhnya kini adalah musim baharu. Ia pasti musim yang mencabar sekali lagi,” jelasnya. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN