Sindiket curi wang tunai libatkan warga asing tumpas

Sindiket curi wang tunai libatkan warga asing tumpas

MOHD. ALWI ZAINAL ABIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Polis berjaya menumpaskan satu sindiket curi wang tunai melibatkan pelancong asing dalam satu operasi khas yang dijalankan di kawasan tumpuan pelancong di Gurney Plaza di sini, semalam.

Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Alwi Zainal Abidin berkata, operasi khas itu dibuat susulan tiga laporan polis yang diterima antara 30 Julai hingga 1 Ogos lalu berhubung kehilangan wang tunai melibatkan pelancong dari Taiwan, Belanda dan Syria di sekitar Pulau Tikus dan Jalan Penang.

Katanya, hasil siasatan lanjut kemudian membawa kepada penahanan lima individu warga asing yang berasal dari negara Timur Tengah, terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita berusia antara 19 hingga 35 tahun.

“Kesemua suspek telah berjaya ditahan dan susulan penahanan mereka, polis turut merampas pelbagai mata wang asing selain dua buah kenderaan serta sepeket dadah dipercayai ganja,” katanya di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Mohd. Alwi berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati, dua daripada lima suspek tersebut positif dadah jenis THC.

“Berdasarkan siasatan, modus operandi kumpulan warga asing itu ialah menyasarkan pelancong dari luar negara dengan cara mengajak mangsa untuk berbual.

“Semasa perbualan berlangsung, mangsa kemudian telah diminta untuk menunjukkan wang tunai yang berada di dalam simpanan mereka dan tanpa disedari, wang tunai tersebut telah diambil oleh suspek.

“Mangsa hanya menyedari tentang kehilangan wang berkenaan sebaik sahaja suspek beredar dari tempat kejadian,” katanya yang memberitahu, kesemua suspek kini direman selama empat hari bermula hari ini.

Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 379 dan 380 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN