PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) meminta semua pihak supaya bersabar sementara menanti laporan penuh perubatan berhubung serangan menimpa anak bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, baru-baru ini.
Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, proses siasatan termasuk laporan perubatan memerlukan masa bagi memastikan setiap dapatan dapat dibuat secara menyeluruh.
“Saya percaya hasil siasatan itu kelak akan dapat mengadili perkara ini dengan baik. Cuma, seperti yang saya nyatakan, kita perlu bersabar sedikit,” katanya ketika ditemui selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara KKM dan Roche (Malaysia) Sdn Bhd, di sini hari ini.
Pada 13 Ogos lalu, polis mengesahkan anak lelaki tunggal Rafizi berusia 12 tahun diserang dalam kejadian di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dilaporkan berkata, seramai 19 individu dipanggil keterangan termasuk ahli keluarga Rafizi, pemandu dan pekerja serta sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi terbabit.
Pada masa sama, polis masih menunggu laporan kimia daripada pihak hospital berkaitan cecair yang dipercayai disuntik ke atas mangsa. – UTUSAN