Seni estetika Melayu: Legasi wau Pantai Timur - Utusan Malaysia

Seni estetika Melayu: Legasi wau Pantai Timur

MUHAMMAD Nasrul Aiman Mohd. Zu menunjukkan kehalusan seni corak yang terdapat pada wau sobek di Kampung Padang Enggang, Kota Bharu, Kelantan. - MINGGUAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

SENI pembuatan wau yang dahulunya menjadi lambang jati diri dan kreativiti masyarakat Melayu kian terhakis, ditelan arus pemodenan dan sikap acuh tak acuh generasi muda terhadap warisan budaya sendiri.

Walaupun wau mempunyai kepelbagaian bentuk, corak dan nilai simbolik mengikut negeri, kelangsungan tradisi ini bergantung kepada usaha segelintir individu yang berjuang dalam senyap tanpa sokongan sistematik yang kukuh.

PERMAINAN wau tradisional menjadi hobi untuk mengisi masa di kalangan penduduk kampung yang bekerja sebagai nelayan dan petani apabila tidak dapat turun mencari rezeki akibat cuaca buruk. – MINGGUAN/PUQTRA HAIRRY

SEJAK beratus-ratus tahun dahulu, wau menjadi permainan rakyat yang popular dan sering kali dimainkan di pantai serta kawasan lapang seperti padang dan sawah padi.

Menerusinya, muncul ‘ta­ngan-tangan seni’ yang memiliki bakat, ketekunan dan kemahiran tinggi untuk menghasilkan wau yang lebih sempurna, kreatif serta menarik.

Ia bukan kerja mudah, sebaliknya seni kraf itu memerlukan kesabaran dan ketelitian bagi memastikan hasilnya halus serta menyerlahkan seni estetika Melayu.

Ledakan teknologi hari ini menyaksikan seni pembuatan wau yang dulunya menjadi kebanggaan dan identiti budaya masyarakat Melayu semakin terpinggir dalam kalangan ge­nerasi muda.

Jika sebelum ini, wau dilihat megah berterbangan di angkasa pada waktu petang di kawasan kampung, kini permainannya semakin sukar dilihat.

Malah, kemahiran membuat wau semakin pudar dan tidak diwarisi secara meluas. Namun, masih ada segelintir individu yang sanggup belajar teknik membuat wau tradisional dan bertungkus-lumus berjuang mempertahan seni kraf ber­kenaan.

CIRI, CORAK BERBEZA MENGIKUT NEGERI

KERJA menebuk ukiran corak bagi wau sobek. – MINGGUAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN

Setiap negeri di Malaysia memiliki ciri dan corak wau tersendiri daripada segi keunikan bentuk dan hiasan bagi membezakan wau Kelantan, Terengganu, Pahang serta ne­geri-negeri lain.

Di Kelantan, pembuatan wau sobek adalah salah satu seni kraftangan yang semakin mendapat tempat dalam kalangan pelancong asing untuk dijadikan cenderahati bagi dibawa pulang ke negara masing-masing.

Saiznya yang mudah dibawa dan disimpan serta kehalusan seni pembuatannya menarik minat para pelancong, selain harganya yang berpatutan.

Bagi memastikan warisan budaya bangsa itu kekal terpelihara, anak muda dari Kampung Pintu Geng di Kota Bharu, Muhammad Nasrul Aiman Mohd. Zu, 35, menggalas tugas agar kehalusan kerja wau sobek tidak luput ditelan zaman.

“Menghasilkan wau sobek ini bukan tugas mudah dan perlu dilakukan secara berhati-hati terutama semasa kerja-kerja menebuk ukiran seperti mana yang dilakar atas kertas. Silap langkah, ukiran rosak. Jadi pro­ses itu memerlukan tumpuan penuh dan tidak boleh dilakukan secara main-main,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Muhammad Nasrul Aiman berkata, kebiasaannya lakaran corak bermotifkan tumbuhan-tumbuhan seperti timun tikus, petola dan lain-lain.
Lakaran corak yang dihasilkan itu kemudian ditebuk pada kertas mengikut warna yang diinginkan sebelum ditampal atas badan wau.

“Walaupun penat, namun puas apabila melihat hasil seni ini tersergam indah di badan wau. Sewaktu usia 11 tahun saya sudah pandai membuat wau. Minat pada wau ini terus memuncak apabila mempelajari penghasilan wau sobek dari seorang guru di Pulai Chondong, Machang,” katanya.

WAU PUNGGUK: WARISAN TERLINDUNG, PERLU DIMARTABAT

MOHD. Redzuan Abd. Rahman menunjukan wau pungguk yang berasal dari Pekan, Pahang. – MINGGUAN/SHAIKH AHMAD RAZIF

Di sebalik kemasyhuran wau bulan dan wau merak yang se­ring menghiasi festival kebudayaan tanah air, tersimpan khazanah seni tradisional yang kian terpinggir, namun sarat nilai sejarah dan keunikan tersendiri iaitu wau pungguk.

Berasal dari Pekan, Pahang, wau pungguk bukan sekadar layang-layang tetapi lambang kehalusan seni warisan Melayu yang pernah menjadi per­mainan anak raja di Istana Abu Bakar pada zaman pemerintahan Sultan Abdullah al-Mu’tassim Billah Shah.

Keunikan wau pungguk terletak pada reka bentuknya yang menyerupai kepala burung pungguk, menjadikannya satu-satunya wau yang membawa identiti fauna tempatan secara langsung.

Lebih menarik, apabila diterbangkan, wau ini menghasilkan bunyi dengung halus menyerupai gesekan biola, hasil daripada gandar atau busur yang diperbuat daripada batang pokok pinang atau nibong.

Dengan saiz mencecah lima kaki tinggi dan dua kaki le­bar, ia memerlukan sekurang-kurangnya dua orang untuk diterbangkan, menjadikannya antara wau terbesar dalam tradisi Melayu.

Bagaimanapun, Pengerusi Per­satuan Wau dan Layang-layang Pahang, Zulkefli Hussin menyuarakan kebimbangan apabila wau tersebut semakin kurang dikenali dan dimainkan oleh generasi muda, sekali gus berada di ambang kepupusan.

“Ketika ini, hanya segelintir individu yang masih memiliki kemahiran menghasilkan wau pungguk. Jika tiada usaha pemuliharaan, kita akan kehila­ngan satu warisan yang sangat bernilai,” katanya.

Pembuat wau pungguk, Mohd. Redzuan Abd. Rahman, 48, yang mewarisi kemahiran tersebut daripada bapanya, turut berkongsi kegusaran sama apabila melihat minat terhadap seni pembuatan wau semakin merosot.

“Anak-anak muda perlu didedahkan kepada seni pembuatan wau ini. Ia bukan sahaja mengasah kreativiti, tetapi juga membina rasa bangga terhadap warisan negeri sendiri,” katanya.

SIMBOL SENI HALUS MELAYU

REKAAN corak yang menarik dihasilkan dengan kehalusan seni untuk wau sobek.

Berbeza dengan negeri-ne­geri lain, wau Terengganu dikenali dengan bentuknya lebih ramping dan ekornya yang panjang menjuntai, memberikan karakteristik tersendiri daripada segi bentuk dan bunyinya.

Antara jenis wau yang popu­lar ialah wau merak, wau jala budi dan wau barat, masing-masing dihiasi dengan motif flora dan geometri yang rumit serta berwarna-warni. Ia melambangkan kreativiti serta hubungan rapat masyarakat dengan alam sekitar.

Bagi pembuat wau sejak lebih 40 tahun, Amidi Muhammad, 55, dari Kampung Tok Nasek, Kuala Terengganu, selain sebagai permainan, wau dianggap karya seni yang dijadikan perhiasan.

“Setiap corak, warna dan reka bentuk mengandungi makna tersirat. Contohnya, motif bunga tanjung atau pucuk rebung membawa simbol keteguhan dan kesuburan. Saya lebih banyak membuat wau perhiasan berbanding wau untuk pertandingan. Tradisi membuat wau adalah warisan turun-temurun yang menjadi punca rezeki keluarga,” kata­nya.

Amidi belajar membuat wau dari arwah datuk dan bapanya sejak berusia 10 tahun. Ketika usia menginjak 18 tahun, Amidi merantau ke Perlis, Kedah dan Kelantan untuk menambah ilmu dan kemahiran membuat wau.

Sepanjang tempoh itu, Amidi menghasilkan pelbagai jenis wau termasuk wau bulan, wau kucing, wau jala budi dan wau khas Terengganu, wau helang sapir yang semakin jarang ditemukan.

Menariknya, wau-wau hasil tangan Amidi kini mendapat tempat di luar negara seperti Perancis, Singapura dan Poland. Tempahan datang bukan sahaja daripada individu, malah agensi kerajaan dan pemborong di Kuala Lumpur yang kemudian memasarkan wau sebagai hasil kraf seni Malaysia di pentas dunia.

“Saya rasa bangga apabila wau yang saya hasilkan menjadi koleksi peminat luar negara. Ia bukan sekadar hiasan, tapi mereka hargai budaya kita. Biasanya saya menerima tempahan 20 wau untuk dipasarkan di luar negara yang berharga RM150 hingga RM200 setiap satu,” katanya.

PEWARIS SENI

Amidi bertuah kerana kemahiran membuat wau turut diwarisi tiga daripada lima anaknya iaitu anak sulung, Ahmad Rashdan, 30; anak kedua, Ahmad Ruhaimi, 26, dan anak ketiga, Nur Aisyah Ain, 23.

“Saya selalu ajak mereka ikut ke bengkel, buat demonstrasi membuat wau. Dari kecil memang mereka tengok dan bantu. Harap satu hari nanti mereka boleh teruskan walaupun masing-masing ada kerjaya sendiri,” katanya

Walaupun terdapat pelbagai jenis wau dan berbeza setiap negeri, aspek seni pembuatannya adalah sama iaitu memerlukan kemahiran, kesabaran dan ketelitian yang tidak datang bergolek jika tidak dipelajari.

Generasi muda perlu sedar bahawa seni kraf wau adalah harta yang cukup berharga kerana statusnya sebagai wa­risan budaya rakyat Malaysia dan perlu dipelihara agar tidak hilang dengan arus kemo­denan.

Dokumentasi sistematik dan sokongan daripada institusi kebudayaan sangat pen­ting dalam memastikan kelangsungan wau agar tidak pupus ditelan zaman. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN