PUTRAJAYA: Sektor ekonomi jingga (ekonomi kreatif) adalah sektor yang membangun dan berpotensi dalam membantu pertumbuhan ekonomi negara.
Jurucakap Kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, sektor yang merangkumi industri kreatif seperti filem, muzik dan animasi itu telah dimasukkan dalam Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) hasil cadangan serta sesi libat urus Kementerian Komunikasi bersama Kementerian Ekonomi.
“Kementerian Ekonomi telah menerima dan menyambut baik cadangan itu dan telah dimasukkan dalam dokumen akhir (RMK13).
“Ini satu bentuk intervensi dan proses libat urus itu telah meyakinkan Kementerian Ekonomi bahawa sektor ekonomi jingga adalah sektor yang membangun dan berpotensi untuk membantu dalam pertumbuhan ekonomi negara kita,” katanya pada sidang akhbar pasca Mesyuarat Kabinet di sini hari ini.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, Jemaah Menteri hari ini turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Ekonomi kerana telah melibatkan setiap menteri dan kementerian dalam sesi libat urus untuk penyediaan dokumen RMK13.
Dalam pada itu, Fahmi berkata, RMK13 adalah dokumen perancangan jangka sederhana lima tahun dan perincian manfaat khusus sektor ekonomi jingga bakal diketahui pada pembentangan Belanjawan MADANI 2026 pada Okt ini.
“Kita akan lihat perincian apa manfaat khusus kepada sektor ekonomi jingga industri kreatif sewaktu pembentangan Belanjawan MADANI 2026,” katanya
Katanya, beliau menyambut baik kenyataan dari Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan MyCreative Ventures yang akan membantu untuk memastikan industri perfileman, muzik dan animasi mendapat manfaat sepenuhnya sepanjang RMK13.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan RMK13 di Dewan Rakyat berkata kerajaan komited memacu pertumbuhan ekonomi jingga (creative industry) melalui industri kreatif digital yang berpotensi tinggi.
Menurut Anwar, Dana Padanan dan Dana Produksi Bersama akan dilaksanakan bagi menggalakkan pelaburan bersama antara kerajaan dan sektor swasta dalam penghasilan kandungan bertaraf global. – UTUSAN