PUTRAJAYA: Penubuhan Sekretariat Bangunan Super Tinggi Malaysia ditubuhkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam memperkukuh aspek keselamatan kebakaran melibatkan bangunan pencakar langit di negara ini.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, objektif utama kerjasama itu termasuk meningkatkan kecekapan dan pengetahuan teknikal kedua-dua pihak, perkongsian dokumen berkaitan amalan terbaik industri, akses kepada dokumen teknikal dan pertukaran pengalaman.
“Bangunan tinggi di Malaysia kita kategorikan sebagai bangunan melebihi 300 meter tinggi dan terdapat enam bangunan kesemuanya.
“Maka, dari segi keselamatan kebakaran dan juga keselamatan bangunan, keperluannya sangat unik. Kita perlu mengadakan satu platform kolektif di mana semua pemilik bangunan super tinggi akan duduk bersama pihak jabatan untuk merangka, menggubal dan melaksanakan dapatan terbaik bagi tujuan keselamatan kebakaran,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Peringkat Ibu Pejabat JBPM Bulan Julai 2025 di sini hari ini.
Terdahulu, Nor Hisham menyampaikan sijil pendaftaran pertubuhan kepada Yang Dipertua Sekretariat Bangunan Super Tinggi Malaysia, Datuk Tengku Ab. Aziz Tengku Mahmud sebagai simbolik jalinan kerjasama.
Sebelum ini JBPM menubuhkan Majlis Bangunan Super Tinggi Malaysia bersama enam entiti utama bagi menyumbang kepakaran berkaitan isu keselamatan dan kebakaran membabitkan bangunan paling tinggi di negara ini.
Enam entiti tersebut adalah Menara Merdeka 118, Menara Exchange 106, Menara Berkembar Petronas, Menara Kuala Lumpur, Four Season Place Kuala Lumpur dan Menara Telekom.
Dalam pada itu, Tengku Ab. Aziz yang juga Ketua Pegawai Eksekutif PNB Merdeka Ventures Sdn Bhd menyatakan setiap bangunan tinggi di negara ini mempunyai cabarannya yang tersendiri dan beliau menghargai penubuhan sekretariat berkenaan.
“Harapan kami adalah ketika kami berkumpul, kita bukan sahaja dapat berkongsi pengalaman dan juga membina tanda aras baharu supaya bangunan-bangunan lain yang akan juga melepasi 300 meter akan mendapat amalan terbaik untuk industri.
“Ini adalah baik untuk keseluruhan bukan sahaja dari segi mencegah kebakaran tetapi kita boleh melonjakkan prestasi bangunan-bangunan yang dibangunkan di Malaysia,” katanya. – UTUSAN