IPOH: Kerajaan tetap mengekalkan sekolah kurang murid (SKM) demi kelangsungan pendidikan dan sensitiviti masyarakat di sesebuah kawasan.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, beberapa pendekatan dibuat bagi menyesuaikan keadaan kekurangan murid yang berlaku tanpa perlu penutupan sekolah.
Jelasnya, antara pendekatan ialah sekolah tetap diwujudkan jika ada kemasukan murid, pencantuman kelas yang berbeza tahun dan pemindahan lokasi sekolah.
“Pihak Kementerian Pendidikan tidak akan menutup mana-mana SKM. Kita tahu bahawa kebanyakan SKM mempunyai nilai legasi tersendiri, bergantung kepada masyarakat dan lembaga pengelola sekolah. Namun jika masyarkat dan lembaga hendak menutup sesebuah sekolah, itu lain cerita.
“Katakan di sebuah pekan kecil, setiap tahun ada tiga orang sahaja murid baharu sahaja, namun itu satu-satunya sekolah yang ada keperluan, maka kita akan kekalkan,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada majlis penyampaian peruntukan penyelenggaraan sekolah bantuan kerajaan (SJKT) Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kinta Utara.
Setakat pertengahan tahun lalu, sebanyak 3,038 buah sekolah di negara ini berkategori SKM kerana mempunyai kurang 150 murid dan daripada jumlah itu, 419 sekolah kategori berkenaan berada di Perak.
Kah Woh berkata, keadaan itu merangkumi pelbagai sekolah termasuk Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) mahupun Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) serta Sekolah Kebangsaan (SK).
Sementara itu mengenai majlis yang dihadirinya, beliau berkata, sebanyak RM810,000 peruntukan penyelenggaraan disalurkan kepada lapan buah SJKT berstatus sekolah bantuan kerajaan (SBK) di daerah Kinta Utara bagi tahun ini, berbanding RM686,000 pada tahun lalu.
Tambahnya, peruntukan penyelenggaraan bagi SJKT berstatus SBK di seluruh negara pada tahun ini ialah sebanyak RM19.09 juta, meningkat berbanding RM18.15 juta pada tahun 2024.
“Peruntukan ini telah pun disalurkan kepada semua pada bulan Ogos. Pihak lembaga pengelola sekolah sepatutnya semua telah pun menerima bantuan ini untuk sekolah-sekolah yang diluluskan bantuan dan akan melaksanakan projek penyelenggaraan dan menaik taraf sekolah demi kebaikan anak-anak sekolah,” katanya. – UTUSAN