PUTRAJAYA: Sebahagian besar tuntutan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) melibatkan isu pendidikan telah dipersetujui antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Negeri Sarawak.
Perkara itu dicapai menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal di bawah Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 kali kedua bagi tahun ini.
Mesyuarat ini juga merupakan persiapan bagi Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) Bilangan 1 Tahun 2025 yang akan dipengerusikan Perdana Menteri di Kuching, Sarawak pada 12 September depan.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, antara perkara yang telah dipersetujui adalah mengenai penglibatan dalam perancangan projek pembangunan pendidikan,
“Ini termasuk perkongsian maklumat mengenai perpindahan pegawai kanan dan penyaluran peruntukan untuk program pembangunan profesional.
“Bagi perkara yang tidak dipersetujui, ia akan terus dibincangkan dalam Jawatankuasa Tindakan Bersama Pembangunan Pendidikan Negeri Sabah dan Sarawak di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, bagi Isu kesihatan pula, sebahagian besar tuntutan Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak juga telah dipersetujui antaranya peningkatan kepada peruntukan belanja mengurus dan belanja Pembangunan.
Ini termasuk kuasa autonomi kepada Pengarah Kesihatan Negeri dalam beberapa perkara dan pengukuhan sumber manusia di Jabatan Kesihatan Negeri Sabah dan Sarawak.
“Bagi perkara yang tidak dipersetujui, ia akan terus dibincangkan dalam Jawatankuasa Tindakan Bersama Pembangunan Kesihatan Negeri Sabah dan Sarawak di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia.
“Tuntutan-tuntutan lain yang masih belum selesai akan terus dipantau oleh Jawatankuasa Teknikal di bawah MTPMA63 dan jawatankuasa kerja berkaitan di bawah kementerian-kementerian yang berkaitan,” katanya. – UTUSAN