PERJALANAN seni pelakon dan pengacara tinggi lampai ini sarat turun dan naik. Hari ini, selepas 14 tahun, Nurulain Edruce atau Ain Edruce mampu tersenyum gembira dengan setiap pencapaian yang diraihnya.
Satu persatu impiannya bertukar kenyataan. Kalau mengenai kerjaya, Ain mungkin tersenyum gembira apabila terus diberi kepercayaan meneraju sebagai hos rancangan popular Melodi selain mendapat mandat untuk mengacara Anugerah Melodi Terhangat yang berlangsung malam ini.
Ain juga sedang menghitung rasa syukur sebagai isteri serta ibu kepada dua cahaya matanya. Katanya, tiada yang mampu diluahkan selain rasa terima kasih kepada Allah SWT atas jalan kehidupan kini semakin yang indah.
“Boleh dikatakan, kerjaya serta kehidupan saya hari ini, saat ini, membahagiakan. Saya anggap ini semua ‘bayaran’ hasil kerja keras selama bertahun-tahun.
“Jauh perjalanan saya sebelum sampai ke titik ini, bermula dengan segala susah payah. Dulu setiap hari saya pergi bekerja ketika matahari belum pun menampakkan dirinya. Pulang pula saat hari sudah gelap.
“Kerja pula bagai tiada hari esok. Sampaikan masa untuk diri sendiri dan keluarga, tiada.
“Kini saya nikmati kemanisan hidup selepas melalui fasa itu. Hari ini lebih indah, karier saya progresif, rezeki tidak putus. Ditambah kehadiran suami dan anak-anak yang menggandakan kebahagiaan. Alhamdulillah,” katanya.
Ain berkata, menjadi pengacara Melodi sekali gus bergelar hos Anugerah Melodi Terhangat bersama Fikry Ibrahim malam ini merupakan antara pencapaian bermakna dalam hidupnya.
Malah peluang menjadi hos Melodi menjadi impiannya sejak dulu.
“Pada 2019, hati saya berbunga-bunga apabila dimaklumkan produksi Melodi yang saya terpilih menggantikan tempat Janna Nick sebagai hos rancangan itu.
“Kerana terlalu teruja, saya ceritakannya kepada ramai orang dan perkara itu juga diumumkan di majlis persandingan saya waktu itu. Bagaimanapun, ketika itu rupanya saya berangan-angan kerana Janna kekal menyambung tugasnya selaku hos Melodi.
“Masa itu saya tidaklah kecewa, lebih menganggap ia bukan rezeki. Dan memang benar, rezeki saya ada cuma ketika itu belum sampai masanya. Kini sudah hampir satu tahun saya bergandingan dengan Fikry selaku hos Melodi. Dan malam ini pula kami menggalas tanggungjawab mengacara Anugerah Melodi Terhangat. Saya hanya mampu bersyukur,” kongsinya.
TIDAK SEMUA SUKA PERANGAI ‘GILA-GILA’
PEMEGANG Ijazah Sarjana Komposisi Muzik, Universiti Teknologi MARA (UiTM) ini dikategorikan sebagai artis serba boleh yang jarang sekali terpalit kontroversi.
Jika ada pun mungkin cerita sensasi tahap ‘suam-suam kuku’ yang tidaklah sehingga tahap melampau atau merosakkan maruah serta nama baik keluarga.
Ain bagaimanapun sedar dia tidak mampu untuk memuaskan hati semua orang kerana tetap ada yang membenci meskipun dia tidak pernah membuat onar dalam industri.
“Bukan semua orang suka dengan karakter saya yang ‘masuk air’ ini. Ada juga yang menganggap saya ini sejenis perempuan yang bising, liar, ganas dan menjengkelkan.
“Pernah ada netizen yang menulis komen di media sosial, kononnya saya akan ditinggalkan suami kerana berperangai sebegini. Tapi saya biarkan mereka menulis apa mereka mahukan.
“Kalau ikutkan, teringin jugalah saya bersikap seperti ‘perempuan Melayu terakhir. Tapi, saya tak mampu berpura-pura, tetap dengan perangai saya yang ‘gila-gila’,” kongsinya.

Ain mengakui hatinya senipis kertas dan tidak kuat membaca komen-komen negatif di media sosial.
Kerana itu bukan sikapnya untuk meneliti setiap pandangan warga maya yang ada ketika menyakitkan sanubari.
“Saya ini mudah terluka kalau baca komen negatif. Bukanlah tidak boleh menerima pandangan atau kritikan orang lain. Cuma memang saya ini senang terkesan.
“Saya sedar mereka yang tidak sukakan saya sebenarnya ada masalah dengan sikap saya yang ‘gila-gila’.
“Tetapi saya bukan manusia yang suka menyangkal pandangan orang lain, jauh sekali berbalas serangan di media sosial,” ujarnya.
DAHULUKAN KELUARGA
Keutamaan hidup anak kelahiran Terengganu ini berubah sejak mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan, Amirul Hafiz Mustaffa pada 22 Jun 2019.
Fokus juga semakin beralih sejak pasangan ini dikurniakan dua cahaya mata iaitu Soraya dan Shaziman.
“Saya tidak nafikan sekarang ini memang saya agak memilih kerja. Bukan apa, kalau boleh saya hendak lebihkan banyak masa bersama keluarga lebih-lebih lagi anak-anak.
“Anak kedua pula masih menyusu badan. Disebabkan itu saya sekarang ini mendahulukan tawaran-tawaran membuat kandungan di media sosial selain menjadi hos Melodi yang hanya mengambil satu jam daripada masa saya.
“Keutamaan hidup saya sudah berubah. Saya juga seperti ibu-ibu lain yang mahu melihat anak-anak membesar depan mata.
“Tempoh begini penting untuk membina hubungan kekeluargaan terutamanya dengan anak-anak yang sedang membesar,” kongsinya.
Dalam masa sama, Ain juga tidak menolak hakikat yang isteri perlu bekerja dan bekerjaya untuk masa depan yang lebih terjamin.
“Isteri kena ada duit sendiri tambah pula dalam keadaan ekonomi yang sekarang yang tidak menentu. Pada masa sama, kita juga dapat bantu suami.
“Suami saya juga tidak pernah halang saya bekerja malah sentiasa menyokong keputusan saya.
“Dan paling penting saya ada duit untuk beri kepada mak ayah saya setiap bulan. Ini tanggungjawab yang tidak pernah saya lupakan.
“Saya yakin dengan keberkatan kalau kita selalu bagi orang tua wang. Pintu rezeki kita akan lebih terbuka luas,” katanya.-UTUSAN