Saya tidak akan halalkan - Michael Ang tetap tunggu jurugaya terkenal selesaikan hutang - Utusan Malaysia

Saya tidak akan halalkan – Michael Ang tetap tunggu jurugaya terkenal selesaikan hutang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: “Saya sudah serik, jangan ada lagi yang nak pinjam duit dengan saya.”

Demikian luahan pengarah drama terkenal, Michael Ang yang mengakui sudah kepenatan menagih hutang yang selepas sembilan tahun masih belum sepenuhnya dilunaskan seorang jurgaya terkenal.

Kata pengarah berusia 49 tahun itu, dia tidak akan sesekali menghalalkan duit yang dipinjamkan meskipun si penghutang terus berdolak dalih daripada melunaskan pinjamannya.

“Rasanya saya tidak akan dapat semula wang yang dipinjam individu tersebut. Jadi saya sudah malas (menagih). Saya hanya menunggu sahaja dia datang kepada saya untuk membayar balik wang berkenaan.

“Memang saya geram. Mana tidaknya, sembilan tahun saya desak dia lunaskan bayaran semula duit yang dipinjamnya. Disebabkan terlalu geram, saya dedahkan perkara ini di media sosial.

“Dia bernasib baik saya tidak dedahkan identiti sebenarnya. Kalau ikutkan hati, saya berani sahaja dedahkan siapa dia.

“Apa pun saya tidak akan halalkan wang yang dipinjamnya daripada saya. Saya tunggu sahajalah, jika dia ada niat dan usaha untuk bayar balik. Tiada guna saya paksa atau burukkan dia,” katanya.

Michael berkata demikian selepas sidang media drama Kerana Seorang Lelaki di GSC MyTOWN, baru-baru ini.

Dedah Michael lagi, individu berkenaan mengambil pendekatan mendiamkan diri dan hanya mula menghubunginya semula selepas sikapnya yang susah membayar hutang didedahkan di media sosial

“Dia terus hubungi selepas saya kongsikan perkara itu di media sosial. Yang peliknya, sebelum itu dia langsung tidak membalas mesej atau panggilan telefon saya.

“Lebih menghairankan, boleh pula dia persoalkan kenapa saya dedah di media sosial? Sebelum itu berkali-kali saya bagi amaran, tetapi dia tak nak langsaikan hutangnya.

“Pesanan saya, pandai pinjam, pandailah bayar. Kalau engkau takut berdosa, bayarlah.
Kalau ada masalah, telefon atau mesejlah saya. Saya faham sekiranya dia tak ada wang untuk bayar balik pinjamannya.

“Tapi jangan kata tak ada duit sedangkan di media sosial boleh pula bergembira. Sakit juga hati saya melihatnya,” katanya lagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN