Saya pilih untuk tidak lagi paparkan kebahagiaan - Norreen Iman - Utusan Malaysia

Saya pilih untuk tidak lagi paparkan kebahagiaan – Norreen Iman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Pelakon, Norreen Iman mengambil pendekatan untuk tidak lagi memuat naik momen kebahagiaan bersama keluarga di media sosial demi menjaga privasi dan ketenangan hidupnya.

Norreen, 35, menegaskan keputusan itu bukanlah kerana rumah tangganya dengan suami, Razzi Razak sedang dilanda masalah, sebaliknya dibuat selepas memikirkan kesan jangka panjang pendedahan berlebihan di alam maya.

“Hubungan kami masih baik. Sebelum ini, kami selalu buat video bersama, cari rezeki sama-sama.

“Tetapi tahun ini saya fikir masa yang sesuai untuk saya ‘tutup’ sedikit ruang peribadi. Apa yang berlaku di rumah, biarlah kekal di rumah.

“Saya hanya mahu perkara positif sahaja yang dikongsikan,” katanya.

Pelakon drama Kampung People itu turut menepis khabar angin yang mendakwa rumah tangganya pernah tergugat.

Namun, Norreen mengakui ada melalui fasa sukar sebelum ini.

“Saya mengaku dahulu memang ada gangguan, bukan daripada manusia, tetapi benda yang kita tidak dapat lihat dengan mata.

“Tetapi itu cerita lama. Sekarang, Alhamdulillah, semuanya baik. Siapalah yang berani hendak ambil suami saya, dan saya pula, siapa yang berani hendak cuba?” selorohnya.

Norreen berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Anugerah Melodi Terhangat (AMT 25) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, ibu kepada dua cahaya mata itu mengakui sedar akan perhatian masyarakat terhadap kehidupan seorang selebriti, apatah lagi hal peribadi sering menjadi bualan.

“Biasalah, kalau ada perubahan sedikit, pasti ada yang bertanya. Kami faham bagaimana media sosial berfungsi.

“Jangan terus berfikiran negatif, anggaplah saya manusia biasa yang mahukan kehidupan tenang bersama keluarga,” katanya lagi.

Untuk rekod, Norreen dan Razzi mendirikan rumah tangga pada 2011 dan hasil perkongsian hidup itu, pasangan ini dikurniakan dua orang anak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN