PETALING JAYA: Pelakon popular, Chacha Maembong tidak menafikan dirinya berdepan tekanan berhubung soal jodoh, apatah lagi menjadi satu-satunya yang masih bujang dalam kalangan adik-beradik.
Menurut Chacha atau nama sebenarnya Siti Aisyah binti Maembong, 29, dia menyimpan rasa bimbang terhadap alam perkahwinan memandangkan banyak aspek perlu difikirkan, terutamanya dalam mencari keseimbangan antara kerjaya dan tanggungjawab sebagai seorang isteri.
“Kalau nak bercakap tentang takut dengan kehidupan selepas berkahwin, memang saya sudah fikirkannya beberapa kali juga. Saya tanya rakan terdekat yang sudah kahwin, adakah kita masih boleh menjadi diri kita sendiri?
“Sebab kalau sudah berkahwin akan ada banyak pantang larang. Di set penggambaran, apabila sudah kahwin, setiap pergerakan, percakapan, perangai semua benda akan mencerminkan suami kita. Kita perlu jaga semuanya sebab mahu pelihara nama baik dia.
“Perkara itu yang membuatkan saya takut tambahan pula dalam keluarga, saya sahaja yang belum kahwin. Jadi semua fokus kepada saya,” katanya.
Chacha berkata demikian ketika muncul dalam program audio siar Studio Sembang bersama Amelia Henderson yang tular baru-baru ini di media sosial.
Dalam pada itu, Chacha berkata, sekiranya dia ditakdirkan mendirikan rumah tangga, dia berharap agar perkahwinan itu kekal hingga akhir hayatnya.
“Perkahwinan bukan perkara main-main, ia serius. Kalau satu hari saya kahwin, saya mahu ia jadi yang pertama dan terakhir. Kalau boleh tak nak ada isu.
“Saya sendiri cakap dekat diri sendiri, walau sudah kahwin, saya tidak akan berhenti berlakon sebab sudah biasa kerja. Cuma bolehkah saya bekerja tapi pada masa sama kena bangun sediakan makan suami?
“Perkara ini juga yang saya bualkan dengan orang yang mahu berkahwin dengan saya. Sebab dari dulu saya membesar dengan sikap takut mahu guna duit orang,” tambahnya.
Menurut Chacha, dia tidak menafikan pernah mengenali seseorang, namun memilih untuk tidak terlalu terbuka dalam berkongsi perancangan peribadi kerana bimbang perkara yang dirancang tidak menjadi kenyataan.
“Sejujurnya memang benda itu memberi tekanan, lagi-lagi tahun ini. Biasalah orang akan tanya siapa kekasih, bila mahu kahwin. Tapi dari dulu saya belajar untuk jaga privasi kehidupan saya, jadi saya kata ada kenal seseorang, tapi doakanlah yang terbaik.
“Kalau ada jodoh, adalah. Saya tak mahu cakap lebih-lebih. Saya tidak mahu cerita perancangan sudah tempah dewan tapi hujung-hujung tak jadi. Kita akan malu, dan ia ‘sakit’,” katanya lagi. -UTUSAN