Bagi penyanyi antarabangsa yang terkenal dengan lagu-lagu ketuhanan, Harris J, muzik bukan sekadar hiburan untuk telinga, tetapi ibarat senjata yang mampu mengubah hati dan jiwa manusia.
Malah, penyanyi kelahiran United Kingdom ini percaya setiap alunan melodi membawa kesan yang mendalam, sama ada ia mampu mendekatkan seseorang kepada Tuhan atau menjauhkannya dari jalan yang benar.
Kalau dilihat, ramai penyanyi mengejar populariti dan angka penstriman terutama di zaman media sosial ini. Namun, bagi Harris, niatnya berbeza.
Sejak mula melangkah ke industri muzik, dia menetapkan pendirian bahawa setiap karya harus menjadi jambatan yang menghubungkan pendengar kepada Allah.
“Apabila saya mendengar muzik, cara saya memikirkannya ialah muzik itu sangat berkuasa. Ia sama ada akan membawa kita lebih dekat kepada Tuhan atau menjauhkan kita daripada-Nya.
“Bagi saya, tiada karya seni hebat yang mampu menandingi Al-Quran yang merupakan kalam Allah.
Tak dinafikan, ada sesetengah muzik yang boleh menjauhkan kita daripada Al-Quran apabila kita mendengarnya.
“Saya pasti kita semua pernah mengalami atau menyukai jenis muzik seperti itu. Bagi saya itu muzik yang sangat melalaikan yang mempunyai pelbagai nuansa dan nada tarikannya,” katanya.
Bagaimanapun, penyanyi ini tidak menolak bahawa muzik boleh menjadi alat untuk menyebarkan kebaikan.
Hal itu pernah terjadi kepada dirinya sendiri apabila dia mengakui berasa terinspirasi oleh rakan seindustri seperti Maher Zain yang berjaya menghasilkan karya yang mampu menarik jiwa dan iman pendengar.
“Apabila saya mendengar nyanyian Maher Zain, saya tidak rasa semakin jauh daripada Tuhan. Malah, saya rasa semakin dekat kepada-Nya dan kepada Al-Quran.
“Sebab itu saya mahu setiap karya saya dapat menjadi wasilah atau batu loncatan untuk membawa orang ke arah kebaikan.
“Muzik saya bukanlah matlamat akhir bagi sesiapa, tetapi saya mahu ia menjadi alat untuk mereka mencapai kedudukan yang lebih baik dalam agama dan keimanan mereka,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.
UJIAN KEHIDUPAN
Bercerita lanjut, siapa sangka, di sebalik senyuman dan lagu-lagu yang penuh ketenangan yang menjadi halwa telinga setiap pendengar, Harris pernah melalui fasa perjalanan hidup yang tidak sunyi daripada ujian.
Akui Harris, dia pernah melalui detik gelap yang menyaksikan satu fasa yang diyakininya pasti akan dilalui setiap insan tanpa terkecuali.
“Setiap orang akan melalui detik-detik gelap dalam hidup mereka. Sama ada ia berpunca daripada kehilangan ahli keluarga atau pelbagai sebab lain.
“Apa yang utama, pasti akan tiba suatu ketika di mana anda berasa benar-benar hilang arah dan merasakan tiada siapa yang mampu membantu,” katanya sambil mengimbas pengalaman peribadinya.
Menurut Harris, detik sukar itu menjadi penentu sama ada seseorang akan kembali kepada Allah atau terus hanyut dalam kesedihan.
“Kita memerlukan Allah. Bagi saya, cara terbaik menggambarkannya ialah Allah sentiasa mengekalkan kita di atas permukaan, tidak membiarkan kita tenggelam.
“Ketahuilah, walaupun ujian hidup kadangkala amat perit, bergantung sepenuhnya kepada Allah. Itu adalah apa yang saya sentiasa cuba lakukan supaya tidak jatuh ke tahap keputusasaan.
“Bagi saya, kalau keputusasaan adalah perkara yang paling berbahaya kerana ia membuat kita merasakan tiada harapan. Tetapi selagi kita ada Allah dalam hidup, kita akan sentiasa rasa ada sedikit harapan untuk keluar daripada ujian itu,” katanya.
Pada masa yang sama, Harris mengingatkan semua peminat dan pendengar setia bahawa Allah telah menjanjikan kemudahan selepas kesusahan, dan tidak akan membebankan seseorang melainkan sesuai dengan kemampuannya.
“Harus ingat bahawa bahkan Rasulullah sendiri diuji lebih hebat daripada sesiapa pun, walaupun baginda adalah insan yang paling dikasihi Allah.
“Jika kita benar-benar percaya kepada-Nya, kita akan tahu bahawa janji Allah itu pasti. Keyakinan itu perlu dibina dengan meluangkan masa untuk beribadah, membaca, mempelajari tentang Allah dan rahmat-Nya.
“Bagi saya, hanya dengan cara itu, ketika berada di waktu sukar, kita akan benar-benar percaya bahawa Allah mampu menyelamatkan kita. Saya bercakap hal ini menerusi pengalaman sendiri. Sebab saya juga adalah manusia biasa yang pernah melakukan kesilapan,”katanya.
Dalam pada itu, berkongsi mengenai album EP terbaharunya yang berjudul Revival, ia bukan sahaja sekadar penanda aras bahawa kembalinya dia dalam industri muzik.
Tetapi, Revival juga membawa misi peribadi yang lebih besar.
Revival menampilkan gabungan lagu-lagu baharu dan karya ikonik yang disusun semula. Iadisempurnakan dengan lagu-lagu utama seperti Qalbi Fil Madinah yang menampilkan kerjasama dengan Maher Zain, ‘O Allah, Salati dan Always Listening.
Lagu single utama, Hayati, turut diiringi video muzik sinematik yang diarahkan oleh Idris Kheder, seorang pengarah filem berdarah Perancis-Tunisia, dengan lokasi penggambaran yang menakjubkan di Granada, Sepanyol.
Album EP Revival kini tersedia di semua platform penstriman utama.