PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menjalankan siasatan terhadap pihak Sarawak Tribune berikutan aduan awam mengenai penerbitan artikel bertajuk ‘Militant Using Press Cover Eliminated’ yang disiarkan pada 12 Ogos lalu.
Menurut KDN, seramai tiga individu daripada syarikat penerbitan itu telah dipanggil untuk memberikan keterangan secara berasingan.
Katanya, siasatan difokuskan kepada penerbitan tidak diingini yang berpotensi menggemparkan fikiran orang ramai, menggugat ketenteraman awam, serta melibatkan kemungkinan pelanggaran syarat permit di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 [Akta 301].
“KDN memandang serius perbuatan menyiarkan artikel tersebut yang menimbulkan kekeliruan, rungutan, dan keresahan dalam kalangan masyarakat.
“Justeru, syarikat akhbar adalah diingatkan supaya lebih teliti, bertanggungjawab, dan beretika dalam penerbitan berita, selain memastikan kandungan tidak menimbulkan kontroversi atau menyentuh sensitiviti awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
KDN memaklumkan, kesalahan menyiarkan berita tidak benar, mengelirukan, atau penerbitan yang dikategorikan sebagai tidak diingini boleh dikenakan tindakan di bawah Akta 301.
Jelasnya, jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun, atau denda tidak melebihi RM20,000, atau kedua-duanya sekali.
“Ini termasuk kemungkinan tindakan kepada pembatalan permit penerbitan.
“KDN tidak sekali-kali berkompromi dan tindakan tegas akan dikenakan kepada mana-mana pihak yang cuai dalam menerbitkan apa-apa hasil penerbitan yang boleh menggugat keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya.
Tindakan penguatkuasaan yang tegas atas kesalahan terhadap Akta yang berkuat kuasa akan dipertimbang sewajarnya selepas siasatan dilengkapkan. – UTUSAN