RUU PSB bukan untuk pecahkan demografi Melayu – PM

RUU PSB bukan untuk pecahkan demografi Melayu – PM

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan dakwaan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) 2025 bertujuan memecahkan demografi majoriti Melayu kepada bukan Melayu adalah tuduhan tidak berasas.

Perdana Menteri malah mempersoalkan kawasan manakah yang telah diserahkan kepada bukan Melayu sejak Kerajaan Perpaduan dibentuk dengan penyertaan DAP.

“Selama puluhan tahun pentadbiran kerajaan terdahulu juga tidak pernah menyerahkan tanah milik Melayu termasuk tanah rizab Melayu di Kuala Lumpur tanpa persetujuan Jemaah Menteri.

“Kita yang memberikan tanah tersebut untuk pembangunan perumahan rakyat malah tiada sebarang bantahan sebelum ini,” katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri  di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Hamzah Zainuddin (PN-Larut) mengenai rasional RUU berkenaan.

Anwar turut mempersoalkan pendirian Perikatan Nasional (PN) terhadap pembangunan semula rumah kos rendah ketika menerajui pentadbiran negara.

“Saya ingin tahu dalam tempoh 33 bulan pentadbiran PN, adakah terdapat cadangan membangunkan rumah kos rendah atau projek perumahan baharu?

“Saya lihat memang ada cadangan pembangunan semula bandar oleh menteri terdahulu tetapi apabila Kerajaan Madani melaksanakannya, ada pula pihak yang menentang dan mengadakan tunjuk perasaan. Jika ada kelemahan, betulkan tetapi jangan menolak RUU PSB 2025,” katanya.

Anwar berkata, tuduhan kerajaan hanya menyokong golongan kaya juga tidak benar.

“Semua projek di Kuala Lumpur disertakan syarat seperti sekolah vertikal dan rumah rakyat. Tidak ada projek khusus hanya untuk golongan kaya,” katanya.

Perdana Menteri berkata, pindaan RUU PSB 2025 bertujuan melindungi kepentingan rakyat khususnya orang Melayu di bandar agar tidak terus hidup dalam kemiskinan.

Katanya, pengambilalihan sesebuah bangunan hanya dilakukan sekiranya 80 peratus penduduk bersetuju, manakala baki 20 peratus diberikan pampasan sewajarnya.

“Apakah logiknya jika 20 peratus menolak keputusan 80 peratus yang mahukan perubahan?” soalnya

Anwar turut berkongsi pengalaman ketika memindahkan 13 keluarga yang membantah projek perumahan di Tanjung Tokong, Pulau Pinang, sedangkan lebih 200 keluarga Melayu lain hidup dalam keadaan daif di tanah haram.

“Projek itu terbiar puluhan tahun. Akhirnya saya buat keputusan memindahkan mereka kerana tidak sanggup melihat orang Melayu terus merempat. Hasilnya, lihatlah pembangunan Tanjung Tokong hari ini,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga terbuka kepada sebarang cadangan penambahbaikan, namun menolak tuduhan kononnya kerajaan menindas Melayu atau menjadi boneka pihak tertentu.

“Tugas saya ialah mempertahankan kepentingan Melayu dan bumiputera, majoriti rakyat negara ini, supaya mereka tidak terus hidup daif.

“Pindaan undang-undang ini tidak seharusnya dijadikan isu perkauman sebaliknya usaha membina bandar yang lebih seimbang. 

“Kita tidak boleh biarkan bandar pesat dengan menara tinggi tetapi majoriti rakyat khususnya Melayu terus duduk di rumah usang dan merempat. Itulah sebab RUU ini perlu dilaksanakan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×