Rungkai sejarah Malaysia-Singapura menerusi akhbar Utusan Melayu - Utusan Malaysia

Rungkai sejarah Malaysia-Singapura menerusi akhbar Utusan Melayu

SULTAN Nazrin Muizzuddin Shah melawat pameran pada Simposium Akademik 2025 Bersama Universiti Malaya (UM) dan Universiti Kebangsaan Singapura (NUS) di Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Laporan berita serta artikel akhbar Utusan Melayu mahu dirungkai bagi mencari nilai sejarah dan warisan antara Malaysia-Singapura terutama sebelum kedua-dua negara itu berpisah.

Perkara itu dipersembahkan kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang berkenan untuk hadir ke Simposium Akademik 2025 Bersama Universiti Malaya (UM) dan Universiti Kebangsaan Singapura (NUS) di sini hari ini.

Turut hadir ke program itu ialah Presiden Singapura, Tharman Shanmugaratnam.

Kajian tersebut mahu dilakukan oleh Pensyarah Fakulti Sastera dan Sains Sosial NUS, Profesor Madya Dr. Seng Guo Quan yang mengumpul pelbagai maklumat serta keratan akhbar itu terutama sejak ditubuhkan pada tahun 1939 sehingga 1960-an.

Malah katanya, usaha tersebut turut melibatkan bantuan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi menterjemahkan tulisan jawi kepada bahasa rumi.

“Singapura menjadi hab penting pasaran utama di rantau ini bermula abad ke-20. Ia juga menjadi lokasi pembikinan filem-filem P. Ramlee pada tahun 1950-an sehingga 1960-an.

“Di Singapura, Utusan Melayu dilahirkan pada tahun 1939 oleh Yusof Ishak, yang kemudiannya menjadi Yang di-Pertuan Negara Singapura. Akhbar itu memenuhi aspirasi nasionalis Melayu bermula tahun 1940-an,” katanya.

Beliau membentangkan kertas kerjanya bertajuk Utusan Melayu dan Skrip Jawi: Menggunakan AI untuk Merungkai Warisan Bersama kepada lebih 100 orang yang hadir.

Guo Quan turut berkongsikan bagaimana AI berjaya menterjemah tulisan jawi yang bagaimanapun masih memerlukan proses pembetulan ejaan dan maksud.

Pensyarah itu juga menunjukkan beberapa keratan Utusan Melayu termasuk gambar barisan wartawan terawal akhbar tersebut seperti Salleh Daud, Othman Wok, Samad Ismail dan Kamaluddin Muhammad (Keris Mas) selain hubungan antara Yusof Ishak dengan Perdana Menteri Pertama Singapura, Lee Kuan Yew.

“Malangnya, wujud keadaan yang mana akhbar Utusan Melayu ini disalah faham dalam sejarah perdana Singapura. Oleh itu kajian saya ini akan mencari kepelbagaian dan suara anti-penjajah daripada sumber bukan bahasa Inggeris seperti Utusan Melayu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN