Rumah urut tawar khidmat seks diserbu, 54 warga asing ditahan - Utusan Malaysia

Rumah urut tawar khidmat seks diserbu, 54 warga asing ditahan

WARGA asing yang ditahan dalam operasi Jabatan Imigresen Malaysia di Ipoh semalam. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kegiatan tidak bermoral berselindung di sebalik operasi rumah urut terbongkar apabila 54 wanita warga asing ditahan dalam serbuan di 13 premis sekitar bandar raya ini, malam tadi.

Dalam serbuan dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) itu, seramai 48 wanita warga Thailand, dua warga Indonesia dan empat warga Vietnam berusia antara 20 hingga 35 tahun ditahan.

Pengarah JIM Perak, Datuk James Lee berkata, serbuan serentak pada pukul 9 malam itu dijalankan selepas dua minggu risikan berhubung aktiviti tidak bermoral yang ditawarkan di rumah urut terbabit.

Katanya, siasatan awal mendapati selain menawarkan perkhidmatan seks di premis, pelanggan juga boleh membawa pulang pekerja untuk mendapatkan khidmat sama di rumah.

“Harga yang ditawarkan bagi perkhidmatan itu antara RM50 hingga RM100 dengan promosi turut dilakukan melalui aplikasi TikTok dan WhatsApp.

“Selain pekerja warga asing, pemeriksaan turut dijalankan ke atas 54 individu lain yang semuanya diberikan Borang 29 (saman saksi) bagi membantu siasatan,” katanya dalam sidang akhbar di lokasi serbuan di sini semalam.

Menurutnya, kebanyakan warga asing yang ditahan itu didapati menyalahguna pas lawatan sosial untuk bekerja di premis berkenaan sekali gus melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Kesemua wanita warga asing yang ditahan itu dibawa ke Pejabat JIM Perak untuk dokumentasi dan siasatan lanjut,” katanya.

Operasi berakhir sekitar pukul 11 malam itu disertai 91 pegawai JIM Perak, Selangor dan Kuala Lumpur. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN