Rumah baharu nyaris disambar api kebakaran belukar

Rumah baharu nyaris disambar api kebakaran belukar

KEADAAN kebakaran di kawasan belukar di Kampung Tersusun Tebok Panchur, Gunung Semanggol di Bagan Serai, Perak kelmarin. – IHSAN JBPM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN SERAI: Keterujaan seorang lelaki untuk mula duduk di rumah baharunya bertukar cemas apabila kediamannya di Kampung Keramat di sini hampir disambar api kebakaran belukar.

Jasni Mat Yusop, 36, berkata, kejadian berlaku pada kira-kira pukul 2.15 petang kelmarin selepas solat Jumaat semasa dia sedang membasuh rumah baharunya itu dan tiba-tiba terdengar bunyi api sedang marak dari kawasan kebun di luar rumahnya.

Menurutnya, melihatkan api semakin marak, dia dan beberapa jiran berdekatan cuba memadamkan kebakaran menggunakan air namun api sangat cepat dan hampir menyambar rumahnya.

“Melihatkan api yang semakin marak, kami menghubungi bomba dan anggota bomba yang tiba berjaya mengawal dan mema­damkan kebakaran.

“Saya bersyukur kerana rumah saya tidak disambar api daripada kebakaran belukar. Saya tidak sangka kejadian ini berlaku pada hari pertama saya berhasrat untuk duduk di rumah baharu selepas lima bulan mendirikan rumah tangga,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini semalam.

Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak menggunakan helikopter dalam operasi memadam kebakaran belukar seluas hampir 60 ekar di Kampung Tersusun Tebok Panchur, Gunung Semanggol di sini sejak kelmarin.

Pengarah JBPM Perak, Sayani Saidon berkata, pihaknya mene­rima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 3.30 petang kelmarin dan menggerakkan operasi berskala besar yang melibatkan kekuatan keanggotaan dari pelbagai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) di seluruh negeri.

Menurutnya, antara BBP yang terlibat ialah Bagan Serai, Kamunting, Taiping, Selama, Parit Buntar, Lenggong, Gerik, Batu Kurau, Pengkalan Hulu, Trong serta Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Lembah Beriah dan Alor Pongsu.

Beliau berkata, operasi pemadaman yang memasuki hari ke­dua semalam mengawal dan memadam kebakaran membabitkan kawasan seluas 56 ekar daripada keseluruhan 58 ekar yang terjejas.

“Kebakaran belukar yang bertompok-tompok dipadam menggunakan pam jentera dan pam angkut melalui satu aliran sejauh 1,000 kaki dengan sumber air diambil dari pili bomba berhampiran,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN