GEORGE TOWN : Sebuah syarikat yang terlibat dalam menguruskan padang sintetik serta penganjuran liga dan akademi bola sepak iaitu Kopa Arena mengalami kerugian lebih RM200,000 apabila butik mereka yang beroperasi di padang Universiti Sains Malaysia (USM) di sini dipecah masuk, awal pagi tadi.
Menurut Pengurus Kaki Jersi Wilayah Utara, Muhammad Mustafa Al-Bakri Arifin selaku pengendali butik tersebut, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 5.08 pagi iaitu ketika premis terbabit masih belum memulakan operasi.
Katanya, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di premis itu, suspek yang terlibat dikenal pasti sebagai seorang lelaki yang memakai topi keledar berpenutup penuh serta memakai sarung tangan.
“Dia (suspek) bukan sahaja mengambil semua stok jersi termasuk yang dipamerkan di butik ini, malah, turut melarikan satu set kamera dan lensa yang berharga hampir RM40,000.
“Selain itu, suspek juga sempat melarikan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Raptor yang lengkap dengan logo serta stiker Penang FC yang kebetulan diparkir di sini,” katanya ketika dihubungi di sini.
Tambah beliau, ini kali pertama butik tersebut dipecah masuk sejak ia mula beroperasi kira-kira tujuh tahun yang lalu.
“Laporan polis mengenai kejadian pecah masuk ini juga telah dibuat di Balai Polis Sungai Nibong, hari ini,” ujar beliau.-UTUSAN