PUTRAJAYA: Kerajaan Malaysia dan JPMorganChase hari ini mengumumkan penyelesaian berhubung semua perkara berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Melalui penyelesaian tersebut, JPMorganChase bersetuju untuk menyumbang sebanyak RM1.4 bilion (AS$330 juta) ke dalam Akaun Amanah Pemulihan Aset Malaysia.
Menurut kenyataan Kementerian Kewangan, sumbangan berkenaan dibuat tanpa pengakuan liabiliti daripada pihak JPMorganChase.
“Penyelesaian itu sekali gus menamatkan semua tuntutan sedia ada dan potensi tuntutan baharu, serta mengikat kedua-dua pihak daripada membuat sebarang dakwaan atau tindakan undang-undang pada masa hadapan yang berkaitan dengan 1MDB.
“Selain itu, kedua-dua pihak juga bersetuju menarik balik semua rayuan yang masih tertunggak melibatkan saman yang sebelum ini difailkan oleh 1MDB terhadap J.P. Morgan (Switzerland) Ltd di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur,” katanya hari ini.
Skandal 1MDB yang mula terbongkar pada 2015 menyaksikan berbilion ringgit dana syarikat pelaburan strategik milik negara itu diseleweng, sekali gus mencetuskan siasatan rentas negara termasuk di Amerika Syarikat, Switzerland dan Singapura.
Sejak itu, kerajaan melalui Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta kerjasama pihak berkuasa asing telah berjaya memulihkan puluhan bilion ringgit aset dan dana yang dikaitkan dengan 1MDB, termasuk melalui penyelesaian bersama institusi kewangan antarabangsa. – UTUSAN