KULIM: Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin menitahkan agar setiap kejadian buli yang berlaku di negeri ini disiasat secara terperinci.
Titah Tengku Sarafudin Badlishah, tindakan tegas hendaklah diambil supaya kejadian buli tidak berulang lagi di masa akan datang.
“Saya berasa sangat kecewa dengan kejadian buli yang disiarkan dalam televisyen dan media sosial yang berlaku di negara kita baru-baru ini.
“Bagi saya apa yang lebih penting adalah langkah-langkah yang sesuai untuk mencegah gejala buli ini,” titah baginda kepada pemberita selepas berkenan mencemar duli ke Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Sarafudin Badlishah, hari ini.
Baginda bertitah, ibu bapa perlu memainkan peranan untuk memantau dan memberi tunjuk ajar kepada anak-anak mengenai perkara yang betul dan salah.
Titah Tengku Sarafudin Badlishah, pihak sekolah perlu melihat perkara itu dengan memastikan kemuliaan adab dan ketinggian akhlak sentiasa diutamakan dan diketengahkan kepada murid-murid.
“Nilai-nilai murni seperti berdisiplin, saling menghormati dan sentiasa berlapang dada dalam perbezaan pandangan mestilah sentiasa diingatkan dari masa ke semasa sebagai salah satu usaha untuk membanteras gejala buli daripada terus berleluasa,” titah baginda.
Baru-baru ini, dua pelajar perempuan berusia 13 tahun cedera ringan di tangan dan kaki serta trauma setelah dikurung dua pelajar lain dalam tandas sebuah sekolah menengah di Bedong, Sungai Petani.
Dua pelajar itu telah dituduh di Mahkamah Majistret Sungai Petani dan mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan mencederakan dan mengurung mangsa pada 14 Julai lalu. – UTUSAN








