Ragut rantai warga emas, penghantar kurier direman 6 hari

Ragut rantai warga emas, penghantar kurier direman 6 hari

SUSPEK kes ragut seorang warga emas (empat dari kanan) ketika tiba di Kompleks Mahkamah Butterworth, Pulau Pinang hari ini.-UTUSAN/SITI NUR MAS ERAH AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH : Seorang penghantar kurier direman selama enam hari bagi membantu siasatan berhubung satu kes ragut membabitkan seorang warga emas wanita di Bagan Lalang di sini, semalam.

Perintah reman yang bermula hari ini sehingga 20 Ogos itu dikeluarkan oleh Majistret Balqis Roslin bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana merompak.

Difahamkan, dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 8.45 pagi itu, mangsa yang berusia 70 tahun telah didatangi oleh suspek yang menaiki kereta jenis Proton Iriz.

Suspek berusia 30 tahun itu memaklumkan bahawa dia kononnya mahu menghantar bungkusan secara bayaran tunai (COD) sebelum mangsa masuk ke dalam rumah untuk mengambil wang berjumlah RM31 dan menyerahkannya kepada suspek.

Bagaimanapun, suspek secara tiba-tiba bertindak menggenggam tudung mangsa sebelum menolaknya sehingga terjatuh dan merentap rantai leher emas yang dipakai oleh wanita berkenaan.

Mangsa dikatakan cuba untuk melawan sehingga menyebabkan rantai tersebut putus kepada tiga bahagian, namun, suspek sempat melarikan diri dengan satu bahagian rantai bersama wang tunai terbabit.

Suspek bagaimanapun berjaya ditahan di rumahnya di Taman Merak, Kulim, Kedah pada pukul 11 malam hari yang sama.

Difahamkan, dia bertindak demikian kerana wang COD milik pelanggan yang dipegangnya sebelum ini hangus dalam pelaburan Forex serta perjudian.

Susulan penangkapan suspek, polis turut merampas resit jual beli emas atas nama lelaki itu, wang tunai berjumlah RM1,270, serta sebuah kereta Proton Iriz yang dipercayai digunakan semasa kejadian.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN