GEORGE TOWN : Kerajaan negeri akan mempertingkatkan pemantauan di kawasan-kawasan cerun yang berisiko sepanjang musim hujan ini bagi mengelakkan berlakunya kejadian seperti batu besar jatuh dan tanah runtuh.
Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan, Infrastruktur dan Digital Pulau Pinang, Zairil Khir Johari berkata, pemantauan itu akan dibuat secara berkala oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri menerusi penggunaan teknologi sensor di beberapa lokasi.
“Baru-baru ini, JKR turut melaksanakan projek perintis menggunakan sensor di sebahagian cerun di Jalan Tun Sardon, Balik Pulau dengan kerjasama sebuah syarikat tempatan. Sistem ini bertindak sebagai amaran awal sekiranya terdapat risiko pergerakan tanah.
“Namun, pelaksanaan sensor di semua kawasan cerun agak sukar kerana kosnya tinggi. Jadi, ia hanya akan dipertimbangkan di cerun-cerun berisiko tinggi buat masa ini,” katanya selepas merasmikan seminar ‘Geotechnical Engineering’ di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Zairil berkata, JKR negeri juga sentiasa bekerjasama dengan Cawangan Kejuruteraan Cerun JKR Malaysia bagi mendapatkan kepakaran dan peruntukan untuk kerja-kerja pembaikan serta pengukuhan cerun yang berisiko.
“Dalam tempoh satu hingga dua tahun kebelakangan ini, banyak peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan disalur untuk mengukuhkan serta membaiki beberapa cerun di sepanjang jalan persekutuan, khususnya di kawasan Balik Pulau dan Batu Feringghi.
“Bagi Jalan Tun Sardon pula, ia sebenarnya jalan negeri, tetapi, kita juga memohon bantuan daripada JKR Pusat memandangkan kepakaran dan sumber kewangan turut ada pada mereka,” jelasnya.
Zairil berkata, meramalkan lokasi kejadian tanah runtuh adalah sesuatu yang sukar, namun, kawasan-kawasan yang berisiko telah dikenal pasti oleh JKR dan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG).
“Cerun yang dikenal pasti itu akan diberi pemantauan lebih kerap, terutamanya ketika musim hujan. Senarai kawasan ‘hotspot’ sudah ada di pihak JMG dan JKR,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan negeri juga tidak menolak penggunaan teknologi lain termasuk satelit untuk pemantauan pergerakan tanah, namun, faktor kos masih menjadi kekangan utama.
“Saya tidak akan kata puas dengan tahap pemantauan yang ada sekarang. Berdasarkan sumber yang kita ada, inilah yang mampu dilaksanakan,” ujar beliau.-UTUSAN