KUALA LUMPUR: Kerajaan mempertimbang mengenakan semula sekatan perjalanan keluar negara melibatkan peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang culas membayar pinjaman.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud berkata, namun buat masa ini belum ada sebarang keputusan dibuat mengenainya.
“Mungkin kita akan kaji semula, tetapi buat masa ini belum ada pertimbangan untuk mengadakan sekatan kepada peminjam,” katanya menjawab soalan Lim Lip Eng (PH-Kepong) di Dewan Rakyat semalam.
Katanya, permohonan pengecualian pembayaran PTPTN bagi pemegang Ijazah Sarjana Muda kelas pertama dibuka semula pada 1 September depan memandangkan laman sesawang PTPTN sebelum ini diselenggara.
“Kepada yang berkenaan, boleh membuat permohonan semula terutama yang telah mendapat keputusan (Ijazah Sarjana Muda) kelas pertama,” katanya.
Katanya, skim bermula awal 2021 itu sudah memberi manfaat kepada 133,159 peminjam dengan nilai kira-kira RM2.9 bilion.
Terdahulu, Lip Eng turut bertanyakan mengapa pengecualian pembayaran PTPTN bagi pemegang Ijazah Sarjana Muda kelas pertama dihentikan. – UTUSAN










