Projek pam elektrik, stesen pam diesel bantu atasi sawah tenggelam - Utusan Malaysia

Projek pam elektrik, stesen pam diesel bantu atasi sawah tenggelam

RAZALI Saad (tiga dari kanan) meninjau kawasan padi tenggelam pada November tahun lalu ekoran hujan lebat di Kampung Telok, Arau, Perlis. – UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Beberapa tindakan segera akan dilakukan bagi mengurangkan impak masalah padi tenggelam setiap kali hujan lebat yang melibatkan hampir 3,233 hektar dalam kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di Guar Sanji di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Per­­­­ta­nian Perlis, Razali Saad berkata, ia melibatkan pembinaan sebuah stesen pam elektrik berkapasiti 10Q, sebuah stesen pam diesel 5Q dan penyediaan 15 pam bergerak kecemasan bagi menghadapi situasi banjir kilat atau hujan luar biasa.

Katanya, pelaksanaan projek itu dijangka bermula September ini dan selesai pada Mei tahun depan untuk memastikan aliran air keluar dari sawah dapat dipercepat supaya tanaman padi tidak terjejas.

“Melalui pelaksanaan ini, kita berharap petani dapat membantu mengurangkan kesan banjir yang kebiasaan berlaku ekoran hujan lebat berterusan sekitar Mei hingga Jun dan September hingga November,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas tinjauan di Kampung Telaga Haji Latif, Kampung Telok serta Kampung Paloh.

Pada November tahun lalu, hujan lebat berterusan yang melebihi 100 milimeter (mm) selama beberapa hari telah menyebabkan 3,233 hektar tanaman padi di Wilayah I MADA Perlis ditenggelami air.

Kejadian itu menyebabkan kerosakan pada sebahagian besar tanaman, sekali gus menjejaskan 1,100 petani dan penduduk sekitar, malah ada di antaranya terpaksa menanggung kos tambahan bagi tanaman semula.

Razali berkata, banjir sebelum ini memerlukan tindakan segera khususnya dalam mempercepatkan pelaksanaan projek naik taraf saliran di kawasan itu yang telah dirancang sejak beberapa tahun lalu.

“Stesen pam elektrik berkapasiti tinggi dan pam diesel itu akan dipasang di Parit ARBDr. 3 dan Parit ARBDr. 2 bagi mempercepatkan proses pengaliran keluar air dari kawasan tanaman.

“Selain itu, sebanyak 15 unit pam bergerak kecemasan akan ditempatkan di lokasi terpilih supaya dapat digerakkan dengan cepat ke kawasan terjejas,” katanya.

Katanya, susulan pelaksanaan itu, kerajaan negeri berharap agar semua petani dapat melakukan penanaman padi mengikut jadual ditetapkan bagi mengelakkan sebarang masalah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN