Program Kesedaran Anti-Scam beri manfaat kepada 10,000 pelajar

Program Kesedaran Anti-Scam beri manfaat kepada 10,000 pelajar

SEBAHAGIAN daripada peserta yang mengambil bahagian pada program Kesedaran Anti-Scam 'Kita Jaga Kita' di SMJK Chung Ling, Butterworth, Pulau Pinang
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH : Hampir 10,000 pelajar dari 30 buah sekolah di Pulau Pinang dijangka menerima manfaat hasil daripada penganjuran program Kesedaran Anti-Scam ‘Kita Jaga Kita’ yang bermula bulan ini.

Yang Dipertua Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) Pulau Pinang, Zeon Cheong berkata, ketika ini, sambutan yang diterima terhadap program itu adalah begitu menggalakkan sekali terutamanya daripada kalangan warga sekolah.

“Untuk merealisasikan program ini, MTPN negeri telah bekerjasama dengan beberapa pihak termasuk JPNPP (Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang) dan MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia).

“MTPN akan bertindak sebagai pelaksana program manakala JPNPP pula akan berperanan memudahkan akses ke sekolah-sekolah terpilih dan menyelaraskan jadual aktiviti selain membentuk ‘Duta Anti-Scam’ dalam kalangan pelajar.

“Sementara itu, MCMC akan menyumbang kepakaran mereka dari segi keselamatan siber untuk sesi ceramah dan bengkel,” katanya ketika ditemui pemberita pada program tersebut di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Chung Ling di sini, hari ini.

Hadir merasmikan program itu ialah Ketua Penolong Pengarah Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan JPNPP, Saiful Nizam Ramlee.

Mengulas lanjut, Zeon berkata, program Kesedaran Anti-Scam ‘Kita Jaga Kita’ terbahagi kepada tiga fasa utama iaitu fasa interaktif, bengkel keselamatan digital serta kempen melalui media sosial.

Katanya, melalui fasa interaktif, pelajar akan melalui simulasi penipuan sebenar untuk belajar mengenal pasti helah penjenayah.

“Bengkel keselamatan digital pula melibatkan latihan praktikal untuk melindungi akaun media sosial dan sebagainya manakala melalui kempen di media sosial, pelajar akan didorong untuk mencipta kandungan kreatif sama ada dalam bentuk video atau infografik mengenai pencegahan scam dan lain-lain,” ujar beliau.

Tambahnya, jika program tersebut berjaya mencapai matlamat yang ditetapkan, ia berkemungkinan akan diangkat menjadi model program nasional dengan potensi untuk dilaksanakan di negeri-negeri lain mulai tahun depan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN