RAUB: Sebatang pokok getah dipercayai berusia hampir satu abad yang ditemukan di Kampung Kuala Kenoi di sini, menjadi simbol hidup kepada sejarah awal perladangan komoditi negara.
Pokok tersebut dipercayai ditanam sejak era penjajahan British, menjadikannya antara tanaman getah tertua yang masih wujud di Malaysia.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) Kuala Keloi, Abdul Majid Hussin, berkata, pokoh getah sebesar empat pemeluk orang dewasa yang lilitan batang kira-kira enam meter dan berketinggian hampir 30 meter itu masih subur.
“Menurut cerita orang-orang di sini, biji getah ini diambil daripada Ladang Budu, Benta, Lipis oleh seorang penduduk di sini, Allahyarham Tengku Sulung Tengku Muda sekitar tahun 1930-an dan dibawa pulang lalu disemai berdekatan sawah padi kampung ini.
“Setelah bertunas menjadi anak pokok, Tengku Sulung memindahkan pokok ini untuk ditanam di kawasan tanah kebun miliknya seluas 3.6 hektar dan beberapa tahun kemudian ditoreh sebagai sumber pendapatan yang harga pasarannya melonjak tinggi sekitar tahun tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Abdul Majib berkata, tanaman asal pokok sudah ditebang oleh Tengku Sulung dan digantikan baharu di bawah projek tanam semula Risda sehinggalah meninggal dunia pada 1976 di Kampung Ulu Gali dan cuma sebatang pokok itu sahaja tidak ditebang.
Katanya, JPKK membuat perancangan pemuliharaan dan mendapat pengiktirafan kerajaan negeri tentang tanaman itu sebagai satu aset pelancongan di Raub dan kampung tersebut.
Exco kerajaan negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong, Fadzli Mohamad Kamal ketika meninjau pokok getah itu bersama Pengarah Risda Pahang, Abdul Aziz Awang yakin ia terbesar di Malaysia selepas di Kuala Kangsar.
“Kita mengukur lilitan batang pokok ini sebesar empat pemeluk orang dewasa manakala hayat pokok ini juga hampir 100 tahun,” katanya.










