HULU TERENGGANU: Seorang jururawat wanita yang ingin menyertai program Himpunan RXZ Members 7.0 maut selepas motosikal Yamaha RXZ ditunggangnya kemalangan di Kilometer 394 Lebuhraya Pantai Timur, berhampiran Ajil, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu, Roslinawati Ramli, 33, yang beralamat di Felda Tementi, Triang, Pahang meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintenden Sharudin Abdul Wahab berkata, semasa kejadian, mangsa dalam perjalanan daripada Johor menghala ke Kuala Terengganu secara berkonvoi 13 buah motosikal untuk menyertai program RXZ Members 7.0.
“Mangsa bergerak darip rumahnua di Simpang Renggam, Johor lebih kurang pukul 1 pagi tadi. Sampai di lokasi kejadian. motosikal ditunggangnya hilang kawalan lalu terjatuh atas lebuh raya.
“Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan pasukan perubatan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi.
Menurut beliau, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu di sini untuk tindakan lanjut. – UTUSAN











