MELAKA: Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri di Persiaran Jalan Merdeka, Banda Hilir di sini, hari ini mencatat sejarah tersendiri apabila buat julung kalinya pesawat tempur Sukhoi dan pesawat angkut taktikal C-130H Hercules melakukan lintas hormat udara di ruang angkasa Melaka.
Aksi penuh bersejarah itu disambut dengan sorakan gemuruh lebih 70,000 rakyat yang membanjiri kawasan tumpuan pelancong tersebut sejak awal pagi bagi menyaksikan acara penuh gilang-gemilang.
Selain itu, persembahan grafik manusia (human graphic) melibatkan 700 pelajar sekolah rendah dan menengah di bawah kendalian Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) turut mencuri perhatian melambangkan semangat patriotisme rakyat.
Perarakan kali ini melibatkan 8,167 peserta daripada 147 kontinjen terdiri daripada jabatan kerajaan, pasukan keselamatan, badan beruniform, pelajar dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Ia turut dimeriahkan dengan 442 kenderaan pelbagai jenis daripada agensi keselamatan, jabatan kerajaan serta sektor swasta.
Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam berkenan hadir menyaksikan perarakan dan turut disertai Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh, barisan exco kerajaan negeri serta ketua-ketua jabatan dan agensi.
Ab. Rauf berkata, sambutan kali ini menampilkan kelainan dengan gabungan aset negara dan kreativiti rakyat yang sama-sama mengangkat tema kemerdekaan.
“Daripada malam tadi hingga hari ini, rakyat Melaka hadir dengan penuh semangat menyambut ulang tahun kemerdekaan negara.
“Dianggarkan lebih 70,000 orang membanjiri Banda Hilir bagi menyaksikan perarakan gilang-gemilang ini, sekali gus menjadikan ia sambutan paling meriah,” katanya ketika ditemui selepas sambutan.
Ab Rauf berkata, persembahan yang ditonjolkan adalah hasil kerjasama erat pelbagai pihak termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta pelbagai agensi kerajaan.
“Terima kasih rakyat Melaka, anda adalah yang terbaik kerana bersama-sama memeriahkan sambutan ini. Kita bersama-sama mengangkat panji Melaka demi Melaka, menzahirkan tekad dan semangat perpaduan yang tidak pernah luntur,” katanya. – UTUSAN










