PETALING JAYA: Pelbagai pihak tampil menyuarakan bantahan keras terhadap Rang Undang-Undang (RUU) Akta Pembaharuan Bandar (URA) yang disifatkan sebagai menguntungkan pemaju dan mengabaikan hak rakyat.
Penasihat Lawyers for Liberty (LFL), N. Surendran menyifatkan URA tidak ubah seperti ‘Akta Memperkaya Pemaju’ kerana mekanisme persetujuan pemilik rumah yang digariskan dalam RUU itu membuka ruang kepada penindasan.
“Pemilik hartanah dibuli, diganggu dan dipaksa untuk menurunkan tandatangan. Jika pemaju dapat 75 peratus persetujuan, kerajaan pula boleh gunakan Akta Pengambilan Tanah untuk merampas selebihnya. Mana perginya hak perlembagaan rakyat?” katanya dalam satu sidang akhbar bekaitan RUU URA di Petaling Jaya, semalam.
Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Pembeli Rumah, Datuk Chang Kim Loong berkata, tempoh 30 tahun bangunan yang ditetapkan kerajaan bagi tujuan pembangunan semula tidak munasabah.
“Bangunan lazimnya bertahan 70 hingga 80 tahun. Mengapa hanya 30 tahun sudah mahu dirobohkan? Rumah adalah istana kami, dibeli dengan titik peluh. Belum sempat habis bayar, datang URA untuk ambil alih,” katanya.
Menurut Kim Loong, syarat ambang persetujuan pemilik rumah perlu dinaikkan kepada 95 atau 100 peratus bagi menjamin hak semua pihak, selain memastikan pampasan lebih adil termasuk perkongsian keuntungan.
Dalam kenyataan bersama, lebih 80 persatuan penduduk menyifatkan RUU itu sebagai ‘cacat, tidak kukuh, tiada legitimasi dan tidak sah di sisi undang-undang kerana mereka mendakwa maklum balas semasa sesi libat urus sebelum ini langsung tidak diendahkan kerajaan.
Pengerusi Persatuan Kebajikan Kelestarian Komuniti Kuala Lumpur (KLRA+SD), Tan Booi Charn mendakwa walaupun kerajaan mengadakan lebih 100 sesi libat urus, kandungan RUU tidak pernah diubah sejak draf asal.
“Apa gunanya libat urus kalau semua cadangan penduduk diabaikan? Malah RUU ini bukan menyatukan masyarakat, tetapi boleh mencetuskan perpecahan antara jiran,” katanya.
RUU tersebut menetapkan ambang persetujuan 80 peratus bagi bangunan berusia 30 tahun ke bawah, 75 peratus bagi bangunan lebih lama, dan hanya 51 peratus untuk bangunan terbengkalai.
Bagaimanapun, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mempertahankan RUU itu dengan menyatakan ia memberi manfaat kepada pemilik rumah termasuk jaminan unit pengganti lebih besar serta nilai lebih tinggi tanpa kos tambahan.
RUU URA kini menunggu bacaan kedua di Dewan Rakyat yang dijadualkan esok dan dijangka menjadi tumpuan perbahasan hangat apabila wakil rakyat pembangkang dan sebahagian pihak kerajaan sendiri mendesak ia ditangguhkan serta dirujuk kepada jawatankuasa khas untuk penelitian lanjut. – UTUSAN