PUTRAJAYA: Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL) mengesahkan perjanjian tambahan pembinaan Seksyen D jajaran Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bagi sambungan dari stesen terakhirnya di Jalan Kastam, Pelabuhan Klang ke Westports dan Northport telah dimuktamadkan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, perjanjian tambahan atau dikenali sebagai Supplementary Agreement 7 atau SA7 antara MRL dan kontraktor utama, China Communications Construction (CCC) itu telah dimeterai baru-baru ini.
Beliau berkata, perjanjian itu adalah kesinambungan kepada pengumuman yang dibuat pada April lalu membabitkan pembinaan laluan sepanjang 25 kilometer (KM).
“Perjanjian SS7 itu melibatkan pembinaan laluan sepanjang 25 kilometer menghubungkan Jalan Kastam ke Northport dan Westport, dengan penggunaan dua sistem rel serentak iaitu landasan meter gauge dan standard gauge,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyempurnaan Ekosistem Kewangan ESG 360 Darjah RHB – MRL di sini hari ini.
Katanya, laluan sedia ada Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) menggunakan meter gauge manakala pembinaan baharu akan melibatkan standard gauge yang akan dibina secara bersebelahan bagi memudahkan integrasi perkhidmatan ke pelabuhan utama di Pelabuhan Klang.
Darwis berkata, walaupun stesen terakhir ECRL terletak di Jalan Kastam namun, pembinaan Seksyen D ini penting bagi melengkapkan keseluruhan jaringan dari Kota Bharu hingga ke Pelabuhan Klang.
“Ia seterusnya memperkukuh fungsi ECRL sebagai ‘land bridge’ menghubungkan Pelabuhan Kuantan dengan Northport dan Westport.
“Pembangunan ini merupakan sebahagian daripada kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pengoperasian (EPCC) yang telah dimeterai antara MRL dan CCC pada November 2016,” katanya lagi.
Katanya, pengumuman lanjut mengenai pembangunan susulan Seksyen D itu akan dibuat dari semasa ke semasa.
Media sebelum ini melaporkan, MRL dijangka memuktamadkan perjanjian tambahan bagi pembinaan Seksyen D itu sekali gus menandakan fasa terakhir rangkaian rel yang menghubungkan industri di Pantai Timur Semenanjung Malaysia dengan pelabuhan kontena terbesar negara. – UTUSAN










