Perhatikan katalog lagu sebelum konsert comeback - Utusan Malaysia

Perhatikan katalog lagu sebelum konsert comeback

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEMUANYA bermula dengan fenomena kumpulan KRU yang berjaya menjual keseluruhan tiket untuk konsert genKRU pada Mei lalu di Axiata Arena selama empat malam berturut-turut. Kumpulan pop, hip hop paling bertaring di era 90-an dan awal 2000 yang dianggotai tiga beradik, Datuk Norman Abdul Halim, Datuk Yusry Abdul Halim dan Edry Abdul Halim juga tidak menyangka mereka masih mempunyai peminat seramai itu walaupun sudah hiatus sejak 2018.

KRU membawa semula nama-nama yang juga pernah meniti puncak kegemilangan dalam era mereka seperti Abon, Adam Akademi Fantasia, Elite, 4U2C dan Feminin. Detik itu juga seolah menyalakan semula harapan kepada penyanyi yang sudah lama membawa diri ini untuk kembali ke pentas dan bertemu peminat seperti mana yang dilakukan KRU. Mencontohi KRU, mereka percaya konsert perlu diadakan bagi pasti melepaskan rindu peminat.

Tidak lama selepas itu, kumpulan 4U2C mengumumkan konsert mereka WE 4U2C Live in Concert pada 15 September. Begitu juga Elite yang bakal mengadakan konsert Elite Live ‘25 lima hari selepas itu. Walaupun ada banyak respons bercampur baur dengan penganjuran konsert ini di media sosial, namun Norman percaya, keberanian artis senior ini tidak wajar diperlekehkan.

“Saya rasa ia satu perkara yang sangat positif. Ia bukan sahaja mengembalikan nostalgia tahun 90-an, tetapi juga memberi peluang kepada generasi baharu untuk mengenali muzik pada era tersebut,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Malah penerima Anugerah Khas Nona Superhero 2018 ini juga tidak menafikan ada kalangan artis yang berjumpa dengannya meminta pandangan sebelum meneruskan hasrat mengadakan konsert seperti KRU.

PERHATIKAN KATALOG LAGU, RELEVANKAH ARTIS ITU?
Menurut Norman, KRU mempunyai strategi rapi sebelum bersetuju mengadakan konsert walaupun sudah lama berdiam diri. Kekuatan yang paling mustahak yang perlu difikirkan mana-mana artis sebelum konsert adalah melakukan penilaian terhadap katalog lagu mereka.

Baginya, peminat bukan sekadar ke konsert untuk melihat artis tapi merasai memori hidup mereka yang terselit di antara lagu-lagu yang dinyanyikan artis kesayangan mereka. Katalog lagu yang kukuh adalah aset terbesar seorang penyanyi.

“Kekuatan KRU ialah kami mempunyai banyak lagu. Itu perkara yang paling penting. Itu sebabnya konsert itu berjaya. Kami sendiri pun pening nak pilih mana satu lagu nak dinyanyikan.

“Sampaikan ada peminat yang persoalkan kenapa kami tidak nyanyi lagu kesukaan mereka? Bukan tidak mahu nyanyi, tapi kami terpaksa buang lagu daripada senarai sebab terlalu banyak. Katalog lagu sangat penting untuk konsert,” tambahnya.

Bukan itu sahaja, menurut Norman antara intipati kepada kejayaan konsert KRU ialah dengan memastikan mereka masih berada dalam radar industri walaupun tidak muncul dengan pakej KRU sebagai kumpulan. Norman dan adik-adiknya masih dilihat kerap muncul di kaca televisyen walaupun sudah tidak bernyanyi membuatkan peminat merasakan mereka masih relevan.

“Kami secara tak langsung masih ada dalam industri. Edry masih aktif di TV, Yusry pun sama. Kami tidak terus diam. Lagu-lagu kami masih diputarkan di radio. Jadi, peminat sentiasa ada hubungan dengan kami.

“Bila saya kaji balik sebenarnya yang beli tiket ini bukan generasi saya sahaja tetap Gen X dan Gen Y. Mungkin waktu konsert terakhir kami 2002 dahulu mereka tidak mampu beli tiket atau dilarang ibu ayah sebab terlampau muda,” ceritanya.

Sebagai seorang senior dalam industri, Norman turut memberi jaminan bahawa tangannya sentiasa terbuka untuk berkongsi pandangan dan pengalaman kepada rakan-rakan artis lain yang merancang mengadakan konsert.

“Saya tak kedekut nak kongsikan apa yang saya tahu. Tujuan saya, saya harap semua konsert mereka ini berjaya,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN