IPOH: Perak FA yakin terhadap kemampuan pemain muda pasukan itu dalam mengharungi kempen Liga A1 Semi-Pro 2025/2026.
Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa), Datuk Azhar Jamaluddin berkata, berdasarkan persembahan ketika bertemu UM-Damansara United di Stadium Majlis Perbandaran Manjung kelmarin, ada sinar buat pasukan bimbingan Syamsul Saad itu.
“Pemain Perak kurang pengalaman tetapi semangat dan keinginan pemain ada. Berdasarkan kesungguhan pemain ketika bertemu UM-Damansara, saya yakin Perak boleh pergi jauh.
“Beri masa kepada pasukan ini. Saya yakin Perak boleh berjaya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Justeru, Jamaluddin berharap penyokong terus memberi sokongan kepada barisan muda bimbingan Syamsul Saad itu.
Beliau berkata, usaha memperkemaskan dan memperkuatkan pasukan akan dilakukan dengan mencari khidmat tiga pemain import berwibawa.
“Kita dalam proses mencari tiga pemain berwibawa bagi mengukuhkan lagi pasukan.
“Saya yakin kita akan mendapat tenaga import berwibawa itu sebelum tarikh pendaftaran pemain berakhir, ” katanya.
Dalam aksi sulung Perak FA dalam Liga A1 Semi-Pro kelmarin, pasukan tuan rumah kalah 0-1 kepada pasukan pelawat menerusi jaringan pemain gantian Shafizi Ikmal pada minit ke-73.- UTUSAN