Perak Bison harap kekal kecemerlangan di GP Pulau Pinang - Utusan Malaysia

Perak Bison harap kekal kecemerlangan di GP Pulau Pinang

PEMAIN meraikan kejayaan Perak Bison muncul juara STL GP Perak selepas mengalahkan Kelantan Warriors pada perlawanan akhir di Stadium Indera Mulia di Ipoh semalam. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Selepas muncul juara GP Perak di sini semalam,  Perak Bison berharap mampu meneruskan kecemerlangan pada sirkit terakhir Liga Sepak Takraw (STL) di Pulau Pinang bermula minggu depan.

Presiden Persatuan Sepak Takraw Negeri Perak (PSNP), Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan berharap pemain Perak berupaya mengulangi aksi bertenaga di Pulau Pinang nanti.

“Saya harap pemain mampu bermain sehebat di Ipoh malah jika boleh dipertingkatkan lagi.

“Ini satu kejayaan yang memberangsangkan selepas empat sirkit yang lepas kita cuma layak ke separuh akhir dan penentuan tempat ke 5/8,” katanya.

Beliau berharap pemain Perak Bison segera kembali berpijak di bumi nyata agar tidak bersikap meninggi diri.

Menurutnya, masih ada misi besar yang perlu dilaksanakan di Pulau Pinang.

“Perjuangan belum selesai. Peluang muncul juara keseluruhan STL kini terbuka luas. Kini kami hanya dipisahkan empat mata dengan pendahulu (KL Thunder), ” katanya.

Mengulas tentang kejayaan Perak muncul juara GP Perak semalam, Abdul Puhat berkata, persefahaman dan prestasi pemain semakin meningkat.

“Ditambah dengan sokongan padu penyokong tempatan dan keberangkatan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang menyaksikan perlawanan,  banyak membantu prestasi pemain semalam,” katanya.

Perak Bison muncul juara STL GP Perak selepas menundukkan Kelantan Warriors 2-0 pada perlawanan akhir di Stadium Indera Mulia di sini semalam.

Trio tuan rumah, S Kritsada, Aizat Nordin dan Aidil Aiman berjuang selama 61 minit untuk menang 15-11, 15-12. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN