IPOH: Seorang pengurus felda mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lapan pertuduhan mengemukakan dokumen palsu berkaitan bayaran kontrak kerja berjumlah RM26,017.12, enam tahun lalu.
Tertuduh, Hendra Mohamad Nazeri, 45, yang sebelum ini bertugas di Pejabat Felda Gunung Besout 4 membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa secara tidak jujur telah menggunakan dokumen sebagai tulen iaitu enam resit pesanan penghantaran daripada Syarikat Minitech Bidor Quarry Sdn. Bhd.
Dokumen tersebut digunakan sebagai sokongan pembekalan untuk projek menyediakan buruh, jentera dan peralatan bagi menjalankan kerja-kerja membekal dan menghantar batu ‘crusher run’ sebanyak 100 tan di Lot Felda Blok 1, 3 dan 5, Felda Gunung Besout 4 masing-masing bernilai RM5,000.
Perbuatan itu dilakukan tertuduh di Maybank Jalan Ahmad Boestamam, Slim River pada 23 Disember 2019.
Tertuduh juga didakwa bagi enam pertuduhan lain apabila mengarahkan Penyelia Rancangan Tanah Gred19 Felda Gunung Besout 4 berusia 37 tahun untuk menyediakan dokumen sebagai tulen iaitu Sijil Bayaran kontrak Kerja.
Dokumen itu bagi tujuan menyediakan buruh, peralatan kenderaan dan alat jentera untuk kerja-kerja membasmi ulat pemakan daun seluas 12.04 hektar dan membaiki jalan pertanian sepanjang 1,000 meter di Felda Gunung Besout 4 bernilai RM1,149.12 dan RM2,200.
Selain itu, dokumen itu juga digunakan bagi menjalankan kerja-kerja pembaikan rumah petugas dan Pejabat Felda Gunung Besout 4 selain membaiki saliran dan paip sepanjang 500 meter serta membekal papan tanda kawasan rumah kakitangan membabitkan jumlah keseluruhan sebanyak RM12,668.
Kesemua enam pertuduhan itu dilakukan tertuduh di Pejabat Felda Gunung Besout 4, Sungkai antara Julai 2020 hingga Mac 2021.
Pertuduhan terhadap lelaki itu dikemukan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd. Afiq Mohd. Adnan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 465 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Mohd. Afiq mencadangkan jaminan RM5,000 bagi setiap pertuduhan namun tertuduh yang tidak diwakili peguam meminta jumlah jaminan minimum dikenakan atas alasan merupakan penanggung tunggal keluarga selain mempunyai masalah jantung dan beban hutang yang banyak.
Hakim Ainul Shahrin kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan dan kes disebut semula pada 11 September depan untuk lantikan peguam. – UTUSAN